Najib persoal layanan khas kepada kedai barang kemas, perabot


Aminah Farid

Beliau berkata bahawa tempoh PKP ini harus dilaksanakan secara ketat jika negara ingin membendung kes Covid-19 di samping dapat mengelak PKP yang berpanjangan. – 15 Januari, 2021.

PUTRAJAYA bersikap tidak adil terhadap peniaga kecil dengan mengarahkan mereka berhenti beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sementara kedai perabot dan barang kemas dibenarkan untuk beroperasi, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam beberapa siri status Facebook, Najib menyiarkan beberapa gambar pasar raya perabot Ikea dan Habib yang beroperasi di samping turut mempersoalkan langkah yang dilihat berat sebelah.

“Sejak bila menjual emas dan barang kemas jadi perkhidmatan keperluan (essential service) masa PKP? Essential service bagi siapa?

“Semua gedung IKEA seluruh negara dibenar terus beroperasi dalam PKP ini? 

“Malah kanak-kanak dan warga emas dibenarkan berkunjung walaupun tidak digalakkan.

“Adakah penjualan perabot termasuk dalam Perkhidmatan Perlu (Essential Service) tapi ramai peniaga kecil lain tidak dibenarkan meniaga pula?
Kita mesti adil pada semua,” katanya.

Beliau berkata bahawa tempoh PKP ini harus dilaksanakan secara ketat jika negara ingin membendung kes Covid-19 di samping dapat mengelak PKP yang berpanjangan.

Di laman Facebook rasminya, Ikea berkata semua cawangannya di Malaysia akan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 8 malam setiap hari. Namun restoran, bistro dan kedai makanan Sweden hanya dibuka untuk penghantaran.

Habib Jewels juga memberitahu pelanggannya pada hari Rabu bahawa premisnya akan tetap dibuka walaupun PKP dijalankan. – 15 Januari, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen