Darurat beri kuasa ambil alih hospital swasta, kata PM


Diyana Ibrahim

Beberapa ordinan darurat boleh dikeluarkan Agong termasuk permintaan menggunakan sumber hospital swasta bagi merawat pesakit Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2021.

PROKLAMASI darurat memberi kuasa lebih besar kepada kerajaan untuk mengekang pandemik Covid-19, termasuk mengambil alih aset dan tenaga hospital swasta, kata Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata melalui proklamasi darurat itu, Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan sebarang ordinan yang perlu bagi tindakan segera untuk mengawal pandemik itu.

Jelas Muhyiddin ordinan yang boleh istiharkan Agong termasuk arahan penggunaan aset hospital, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta.

“Sepanjang tempoh darurat ini, jika Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa ada hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Seri Paduka Baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa.

“Dalam konteks ini, beberapa ordinan darurat boleh dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan membendung wabak Covid-19 ...”

Ia termasuk permintaan untuk menggunakan sumber hospital swasta bagi merawat pesakit Covid-19, katanya dalam perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung.

“Kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan lebih inklusif pihak swasta termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban agensi kerajaan terutama hospital awam.

“Menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti.

“Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini,” katanya.

Selain itu, kuasa lebih besar juga boleh diperuntukkan kepada pihak tentera untuk menguatkuasakan kawalan, katanya.

Semalam, beliau mengumumkan sistem kesihatan negara hampir lumpuh dan tidak mampu menampung beban sekiranya jumlah kes baharu tidak diturunkan dari angka 2,000 sehari waktu ini.

Istana Negara hari ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenan cadangan menguatkuasa ordinan darurat sehingga 1 Ogos. – 12 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen