Semua menteri Kabinet diarah jalani ujian saringan Covid-19


Harian Metro melaporkan semua menteri Kabinet akan menjalani ujian saringan Covid-19 selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed disahkan positif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2021.

SEMUA menteri Kabinet akan menjalani ujian saringan Covid-19 selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed disahkan positif, lapor Harian Metro.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dipetik berkata semua menteri Kabinet diminta berbuat demikian hari ini.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata beliau akan menjalani ujian saringan Covid-19 kedua hari ini sebagai langkah berjaga-jaga. Ujian pertama beliau dibuat 10 hari lalu.

“Sabtu 2 Januari sudah buat PCR swab test..Dah 10 hari..InsyaAllah hari ni nak buat lagi..secara sukarela. 

“Covid-19 semakin mengancam. Banyak kerja untuk rakyat tergendala,” katanya di Twitter.
 
Sementara itu, dua menteri yang disenaraikan antara kontak rapat Mustapa selepas hadir mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu kini menjalani kuarantin kendiri.

Menteri berkenaan, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah, duduk di sebelah Mustapa semasa mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

Mustapa semalam mengesahkan beliau diuji positif Covid-19 pada Sabtu. Beliau kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu. – 11 Januari, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen