Annuar ambil ujian saringan kedua Covid-19


Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa akan menjalani ujian saringan kedua Covid-19 secara sukarela hari ini sebagai langkah berjaga-jaga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2021.

MENTERI Wilayah Persekutuan Annuar Musa akan menjalani ujian saringan kedua Covid-19 secara sukarela hari ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Di Twitter, beliau memberitahu akan mengambil ujian kedua hari ini, iaitu 10 hari selepas menjalani ujian swab.

“Sabtu 2 Januari sudah buat ujian PCR. Sudah 10 hari. Insyaallah hari ini buat lagi secara sukarela.

“Covid-19 semakin mengancam. Banyak kerja untuk rakyat tergendala,” katanya di Twitter.

Tweet itu susulan rakannya Mustapa Mohamed yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi) didapati positif Covid-19 semalam.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Annuar menjalani ujian saringan kedua itu kerana ada kontak dengan Mustapa.

Annuar turut memuat naik salinan ujian swab PCR dalam tweet yang sama.

Sementara itu, dua menteri, dikenal pasti kontak rapat Mustapa selepas menghadiri mesyuarat Kabinet pada Rabu, kini menjalani kuarantin kendiri.

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah yang duduk bersebelahan dengan Mustapa pada mesyuarat di Putrajaya itu.

Mustapa semalam mengesahkan beliau didapati positif Covid-19 pada Sabtu. Beliau kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Baru. – 11 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen