Hamzah Zainudin halang pendaftaran Pejuang, kata Dr Mahathir


Kamles Kumar

Dr Mahathir Mohamad berkata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin tidak membenarkan Pejuang didaftarkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Januari, 2021.

DR Mahathir Mohamad menyalahkan penolakan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang katanya tidak membenarkan parti baharu itu didaftar.

Bekas perdana menteri berkata jawatankuasa penaja Pejuang sudah membuat segala pindaan yang diminta oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap cadangan perlembangan parti, namun permohonan pendaftaran itu akhirnya ditolak juga semalam.

RoS ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, yang Hamzah adalah menterinya.

“RoS telah beritahu secara lisan (kepada Pejuang) bahawa semuanya okay dan boleh dilulus tetapi RoS akan rujuk permohonan ini kepada menteri.

“Mengikut undang-undang RoS berhak membuat keputusan sama ada menolak atau mendaftar tetapi RoS berkata walaupun semuanya baik ia kena rujuk kepada menteri. 

“Ini bermakna bahawa proses pentadbiran sudah jadi politik kerana ia (bertindak) melebihi peraturan, peruntukan dan undang-undang.

“Kenapa perlu rujuk kepada menteri… bukanlah diwajibkan mengikut undang-undang?” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya.

Setiausaha agung penaja Pejuang Amiruddin Hamzah sebelum itu menjelaskan permohonan pendaftaran itu ditolak dengan alasan tidak teratur, sekaligus gagal memenuhi peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

Menurut Dr Mahathir, tindakan RoS juga tidak adil kerana Perikatan Nasional (PN) didaftarkan hanya dalam masa seminggu, selepas parti yang membentuk gabungan kerajaan itu mengemukakan permohonannya pada awal Ogos tahun lalu.

Hamzah adalah juga setiausaha agung PN merangkap setiausaha Bersatu, parti yang membentuk PN bersama PAS dan dua parti dari Sabah.

Ditanya mengenai tindakan selanjutnya, Dr Mahathir berkata Pejuang akan mengemukakan rayuan terhadap penolakan oleh RoS, yang mengikut undang-undang perlu dirayu kepada menteri dalam negeri.

“Itu kita akan buat. Kita ikut undang-undang, kita percaya kedaulatan undang-undang,” katanya.

Awal hari ini, Pejuang menarik balik permohonan semakan kehakiman bagi mendapat perintah Mahkamah Tinggi agar RoS membuat keputusan berhubung status pendaftaranya sebagai parti politik.

Tindakan dibuat selepas Pejuang mendapat makluman penolakan oleh RoS melalui emel pada petang semalam.

Selain Pejuang, RoS juga menolak pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang digerakkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Penolakan itu juga dibuat tanpa disebutkan sebarang alasan, kata Muda dalam satu kenyataan hari ini.

Muda menganggap penolakan tersebut usaha jahat kerajaan PN untuk menghalang parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, selain mencabul hak asas rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Bergerak ke depan, Muda akan mempertimbangkan segala pilihan yang sedia ada, termasuk tindakan mahkamah,” kata parti itu dalam kenyataannya.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sementara itu berkata RoS tidak harus digunakan sebagai perkakas politik oleh kerajaan dan penolakan pendaftaran Pejuang dan Muda bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pejuang mengemukakan pendaftarannya kepada RoS pada Ogos tahun lalu sementara Muda sebulan kemudian. – 7 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen