Saya 'dibaptis' tanpa sedar, kata saksi dalam siasatan pastor hilang


Ravin Palanisamy

Tidak banyak diketahui mengenai Joshua dan Ruth, yang dipercayai menjadi mangsa culik. Pada 2018, dua tahun setelah mereka hilang, adik-beradik Ruth membuat laporan kehilangan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2021.

SEORANG saksi memberitahu siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia bahawa beliau tanpa sengaja dibaptiskan oleh pastor yang hilang, Joshua Hilmy, ketika beliau cuba mendapatkan rawatan spiritual.

Iqbal Mirza Mohd Jalaluddin berkata, beliau dan isterinya, Fadzlina Amran diperkenalkan dengan Joshua oleh seorang temannya pada Januari 2015 setelah pasangan itu “sakit spiritual” berikutan perkahwinan mereka pada 2001.

Iqbal mengaku mengalami gangguan berterusan oleh “roh jahat” selain mengalami kesakitan fizikal yang sangat kuat.

Iqbal berkata beliau telah mendapatkan rawatan dari beberapa ustaz sebelum bertemu Joshua, namun tidak ada yang membantu untuk menyembuhkan penyakit itu.

Saksi berkata, beliau dan isterinya bertemu Joshua di kediamannya pada malam 1 Januari 2015, di mana isteri pastor itu, Ruth Sitepu turut ada di tempat kejadian.

Iqbal berkata, beliau dan isterinya menceritakan masalah mereka kepada Joshua sebelum mereka dimandikan oleh Joshua.

Mengingat kembali, Iqbal berkata, Joshua telah membaca beberapa ayat ketika itu, malah nama “Jesus” turut disebutkan dalam upacara tersebut.

Ketika ditanya apakah Joshua mengucapkan kata “baptis”, Iqbal mengaku dan setuju.

“Dia (Joshua) memang menyebut perkataan ‘baptis’ tetapi saya memberitahunya bahawa saya dan isteri datang untuk membersihkan diri dan saya mahu kesakitan dalam diri saya hilang.

“Joshua berkata saya telah dibaptiskan tetapi pada masa itu, saya tidak terlalu peduli kerana saya hanya ingin sembuh,” kata Iqbal pada sesi siasatan hari ini.

Iqbal bagaimanapun mengakui bahawa beliau tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan membaptis kerana beliau menekankan tujuannya untuk bertemu Joshua adalah untuk disembuhkan.

Tidak banyak diketahui mengenai Joshua dan Ruth, yang dipercayai menjadi mangsa culik.

Pada 2018, dua tahun setelah mereka hilang, adik-beradik Ruth membuat laporan kehilangan mereka.

Keluarganya berasal dari perkampungan nelayan Nambiki di Sumatera utara. – 5 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen