JUMLAH pampasan kepada Singapura berhubung pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) tidak boleh didedahkan kerana Malaysia terikat dengan klausa kerahsiaan, kata Mustapa Mohamed.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Singapura belum memberikan perincian mengenai pampasan yang akan diminta.
“Pihak kita sedang menunggu butiran kos tersebut daripada Singapura, dan sebaik sahaja diterima, ia akan diteliti sebelum disahkan. Jenis-jenis tuntutan yang dibenarkan telahpun dipersetujui bersama.
“Namun begitu, jumlah pampasan tidak boleh didedahkan kerana dibawah Perjanjian Dua Hala, kedua-dua negara terikat dengan klausa kerahsiaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Bagaimanapun Mustapa berkata Putrajaya akan membincangkan dengan Singapura kemungkinan untuk menjadikan maklumat itu terbuka kepada umum.
Sementara itu Mustapa berkata Malaysia sedang mempertimbangkan untuk membina perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.
Beliau berkata sebarang perbincangan mengenai projek keretapi laju KL-JB hanyalah spekulasi.
Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke mendesak Putrajaya bersikap telus dan mendedahkan jumlah kos yang dibayar jika projek HSR ditamatkan.
Dalam satu kenyataan Loke berkata kerajaan perlu mengumumkan kepada rakyat jumlah pampasan yang dibayar sebagaimana yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika mengumumkan pampasan yang dibayar ketika menunda projek HSR dan RTS.
“Kerajaan Malaysia mesti mengambil tindakan yang telus dalam perkara ini dan mengumumkan kepada rakyat jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada pihak Singapura dan jumlah keseluruhan kos yang telah dibelanjakan oleh Syarikat MyHSR yang ditanggung oleh wang pembayar cukai sejak tahun 2016,” katanya.
Malaysia dan Singapura pada 1 Januari mengumumkan penamatan kontrak untuk membina HSR yang dapat menghubungkan kedua-dua negara selepas gagal mencapai kesepakatan mengenai cadangan perubahan projek berkenaan.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsein Long mengeluarkan kenyataan bersama pada 31 Disember 2020 mengumumkan pembatalan perjanjian itu selepas tamatnya tempoh penangguhan projek pada hari yang sama. – 4 Januari, 2021.
Komen