ANTHONY Loke mahu Putrajaya bersikap telus mengenai berapa banyak pampasan yang akan dibayar kepada Singapura selepas penamatan perjanjian Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Dalam satu kenyataan itu bekas menteri pengangkutan berkata kerajaan perlu mengumumkan kepada rakyat jumlah pampasan yang dibayar sebagaimana yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika mengumumkan pampasan yang dibayar ketika menunda projek HSR dan RTS.
“Kerajaan Malaysia mesti mengambil tindakan yang telus dalam perkara ini dan mengumumkan kepada rakyat jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada pihak Singapura dan jumlah keseluruhan kos yang telah dibelanjakan oleh Syarikat MyHSR yang ditanggung oleh wang pembayar cukai sejak tahun 2016,” katanya.
Malaysia dan Singapura hari ini mengumumkan membatalkan perjanjian untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura, selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan berhubung perubahan yang dicadangkan.
Kenyataan bersama Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin dan Lee Hsien Long dari Singapura dibuat selepas tempoh penggantungan untuk projek itu berakhir semalam.
“Berikutan impak pandemik Covid-19 ke atas ekonomi Malaysia, kerajaan Malaysia mencadangkan beberapa perubahan ke atas projek HSR.
“Kedua-dua kerajaan telah mengadakan beberapa perbincangan berhubung perubahan itu dan masih belum mencapai persetujuan. Justeru, Perjanjian HSR telah luput pada 31 Disember, 2020,” kata mereka dalam kenyataan itu.
Dalam satu kenyataan berasingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamad berkata kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci meliputi kesemua opsyen termasuk daya maju projek keretapi laju domestik serta manfaatnya kepada rakyat.
Mengulas perkara ini Loke berkata tidak perlu adanya HSR dari Kuala Lumpur ke Hohor kerana sudah ada landasan kereta api KTM yang menghubungkan kedua-dua bandar.
Beliau berkata bahawa kerja-kerja untuk projek membina landasan berkembar bernilai RM10 bilion dari Gemas, Negeri Sembilan ke Johor Bahru sedang berjalan dan setelah siap, ia dapat berfungsi sebagai perkhidmatan ETS.
“Walaupun ETS tidak secepat HSR, namun pada hemat saya ia memadai untuk perkhidmatan domestik.
“Kerajaan cuma perlu memperuntukkan tren yang secukupnya untuk menambah kekerapan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – 1 Januari, 2021.
Komen