Malaysia hormati terma perjanjian dua hala HSR, kata Mustapa


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci meliputi kesemua opsyen termasuk daya maju projek keretapi laju domestik serta manfaatnya kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2021.

MALAYSIA akan menghormati terma-terma Perjanjian Dua Hala berkenaan Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan akan mengambil tindakan yang perlu untuk menentukan jumlah pampasan, kata Mustapa Mohamed.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu berkata terma Perjanjian Dua Hala yang telah ditandatangani pada 2016 itu tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan oleh Malaysia susulan penularan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan teruk kepada ekonomi sekaligus menjejaskan kedudukanfiskal negara.

“Malaysia akan menghormati terma-terma Perjanjian Dua Hala. Kedua-dua negara akan mengambil tindakan yang perlu untuk menentukan jumlah pampasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa berkata kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci meliputi kesemua opsyen termasuk daya maju projek keretapi laju domestik serta manfaatnya kepada rakyat.

“Bermula akhir 2018, kerajaan Malaysia telah meneliti beberapa alternatif yang bertujuan untuk menurunkan kos keseluruhan projek ini. 

“Penelitian semula ini semakin menjadi keutamaan kerajaan semenjak pandemik Covid-19 ini berlaku,” jelas beliau.

Susulan itu, kerajaan Malaysia sejak pertengahan tahun lalu telah mengemukakan beberapa cadangan perubahan bagi mengurangkan kos keseluruhan projek berkenaan, termasuk kata Mustapa.

Cadangan tersebut termasuklah perubahan kepada struktur projek, jajaran dan reka bentuk stesen.

Jelasnya, struktur projek yang asal memerlukan jumlah Jaminan Kerajaan (Government Guarantees) yang besar dan untuk tempoh yang panjang. 

“Cadangan struktur projek yang baharu ini juga akan memberikan kerajaan fleksibiliti dalam memilih opsyen pembiayaan projek termasuklah melalui kaedah pembayaran tertangguh, usaha sama awam dan swasta serta kemungkinan mendapatkan akses kepada pembiayaan pada kadar yang munasabah.

“Lebih penting lagi, cadangan perubahan struktur projek ini dijangka dapat mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.”

Beliau juga berkata berdasarkan cadangan  baharu itu, pembinaan projek HSR akan dimulakan dua tahun lebih awal berbanding perancangan asal, dan akan memberikan rangsangan yang amat diperlukan oleh sektor pembinaan dan juga industri lain yang berkait rapat dengan sektor ini, katanya.

“Mengambil kira perubahan-perubahan ini, kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan sepanjang beberapa bulan yang lepas bagi memperjelaskan pendirian masing-masing.” – 1 Januari, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen