Malaysia catat 1,925 kes baharu Covid-19


Aminah Farid

MALAYSIA mencatatkan 1,925 kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu juga berkata, Selangor mencatat jumlah jangkitan paling banyak daripada jumlah tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa kes baharu yang dicatat hari ini menjadikan jumlah kes keseluruhan menjadi 108,615 termasuk 21,443 kes aktif.

Selain itu, 1,123 pesakit dibenarkan pulang, menjadikan jumlah kes pulih daripada jangkitan Covid-19 mencatat angka 86,715.

Noor Hisham berkata, Selangor melaporkan kes harian tertinggi sebanyak 747 kes hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 625 kes adalah dari kluster dan saringan Covid-19 yang dijalankan, diikuti Kuala Lumpur dengan 360 kes dan Pahang sebanyak 288 kes.

Peningkatan kes di Pahang berasal dari Kluster Mempaga Tembok yang melaporkan 282 kes.

Noor Hisham berkata dua orang menjadi korban terbaru wabak itu hari ini.

Mangsa korban adalah seorang lelaki (65) dan wanita (68) yang mempunyai sejarah penyakit kronik. Pesakit pertama meninggal dunia di Hospital Sg Buloh sementara mangsa kedua di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu Kelantan.

Sebanyak 307 kes yang dilaporkan hari ini berkaitan dengan kluster pusat tahanan, depoh tahanan imigresen, dan penjara yang melibatkan Kluster Tembok Mempaga (282), Penjara Jalan Harapan (9), Tembok Gajah (9 kes), Tembok (3 ), Pagar Siput (3), dan GK Tawau (1).

Setakat ini, terdapat 117 kes positif Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), sementara 55 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan. – 29 Disember, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen