Anwar sedia kerjasama dengan Dr Mahathir jika prinsip Pakatan dihormati


Presiden PKR Anwar Ibrahim terserah kepada pemimpin PH lain untuk putuskan sama ada mahu mempelawa Dr Mahathir Mohamad atau yang lain untuk menyertai 'gabungan besar'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2020.

ANWAR Ibrahim berkata beliau bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja, termasuk musuh lama dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mahathir, untuk membentuk “gabungan besar” selagi prinsip Pakatan Harapan (PH) dihormati.

Presiden PKR itu berkata, terserah kepada pemimpin PH untuk memutuskan sama ada mereka mahu menjemput Dr Mahathir atau yang lain untuk menyertainya.

“Perkara itu saya serahkan kepada PH…boleh jemput sesiapa sahaja, tetapi mereka perlu mengikuti prinsip PH. Jangan bawa agenda peribadi mereka atau meneruskan tindakan yang merugikan daripada masa lalu,” katanya kepada pemberita selepas acara pelancaran buku hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata sesiapa yang mengaku minat untuk menjadi perdana menteri perlu komited melakukan reformasi untuk pemerintahan yang baik dan bersiap sedia memerangi rasuah.

“Ini bukan untuk melindungi keluarga dan kroni anda, dan memperkayakan mereka atas nama perubahan atau mandat rakyat.”

“Anda harus jelas dengan agenda anda untuk memerangi korupsi politik, dan komited perjuang dan membantu penderitaan rakyat miskin di luar bandar, dan komuniti terpinggir di kalangan orang Melayu luar bandar di Semenanjung,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata beliau bersedia menjadi “jambatan” bagi semua parti pembangkang untuk bersatu dalam gabungan besar menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bekas menteri pertahanan itu berkata, gabungan besar harus dibentuk antara PH dan parti pembangkang lain, seperti Warisan dan Pejuang untuk mengembalikan mandat rakyat yang dimenangi dalam pilihan raya umum lalu.

“Menyongsong ke hadapan, saya berpandangan adalah mustahak untuk Amanah terus berperanan memperkukuhkan PH.

“Bahkan lebih mustahak lagi adalah untuk melebarkan kerjasama dengan semua pihak dan parti pembangkang yang lain buat menjalinkan satu penjajaran besar sebelum kita berjaya membentuk sekali lagi satu gabungan besar,” kata Mohamad pada konvensyen nasional Amanah di Melaka baru-baru ini.

PH terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, tetapi mereka membentuk pembangkang Parlimen dengan Warisan dan Pejuang yang belum didaftarkan, yang diasaskan oleh Dr Mahathir selepas dipecat daripada Bersatu.

Sebilangan ahli Parlimen menyokong gabungan antara lima parti, tetapi ia tidak berlaku setelah pertikaian tegang antara Dr Mahathir dan Anwar. – 29 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen