PENGGUNA media sosial melihat dengan sinis tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) memohon maaf atas kemunculan satu lubang di satu jalan raya seliaan agensi tersebut.
Pengguna ini melihat JKR hanya bertindak demikian kerana individu yang kemalangan itu seorang menteri, Khairy Jamaluddin yang terjatuh kerana melanggar lubang tersebut sewaktu berbasikal.
Antaranya pengguna Twitter @PrihatinYg yang melihat, perkara seperti itu hanya disegerakan apabila melibatkan menteri atau kaum kerabatnya.
“Bila terkena pada menteri atau anak-anak menteri segalanya disegerakan.
“Rakyat yang memilih dan mengundi hingga menjadi menteri untuk membela perkara yang sama sekiranya berlaku pada rakyat, diabaikan.
“Semoga rakyat lebih cerdik dan buka mata. Rasuah menjadi-jadi dan kebajikan rakyat diabaikan,” katanya.
Pengguna Twitter @woody2shoez pula mempersoalkan jika JKR akan memberi layanan sama dalam kes melibatkan rakyat biasa.
“Kena salah seorang YB yang tersadung dan tercedera ke baru JKR ambil tindakan? Kalau rakyat biasa tercedera akibat selenggaraan jalan yang buruk, tiada siapa akan ambil tindakan?”
Seorang lagi pengguna Twitter, @iamzulsyauqi yang mendakwa pernah mengalami kemalangan serupa juga berharap reaksi kerajaan sama pantas dalam kes melibatkan rakyat biasa.
“Sementara jadi menteri ini tolonglah ambil benda ini serius. Bawa isu ke parliamen, banyak kali adu dekat pihak berkuasa tempatan, JKR, buat tak endah saja.
“Takkan nak harap (aktivis) Lando Brotherhood?” katanya yang turut menyiarkan gambar menujukkan kecederaan dan pendarahan yang dialami.
Pengguna @NazmiBaharudin pula berkata, Khairy bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan kecil.
“Nasib baik calar muka saja YB. Orang lain ramai dah yang kena kambus,” katanya.
Ada juga pihak yang meminta Khairy berbasikal di kawasan diwakilinya, Rembau yang sebelum ini turut menjadi tumpuan kerana keadaan yang buruk dan berbahaya.
Ada juga yang bersyukur, seperti @nicoujih kerana kemalangan itu membabitkan seorang meneteri yang menjelaskan isu keadaan dan selenggaraan jalan yang buruk itu mendapat perhatian.
“Syukur sebab menteri sendiri kena dengan jalan teruk di Malaysia ini. Sekarang tau kan kualiti jalan di Malaysia ini? Buatlah terbaik sementara masih sempat jadi menteri.
“Hubungi menteri JKR. Rakyat dah biasa dah muak dengan kualiti jalan,” katanya.
Pengguna lain pula menarik perhatian menteri itu kepada keadaan jalan yang buruk di kawasan mereka, seperti laluan di kawasan Klang, Pelabuhan Klang dan Kapar dan di kawasan luar bandar.
Permohonan maaf itu dikeluarkan JKR Kuala Langat atas kemalangan menimpa Khairy sewaktu melalui satu jalan seliaan jabatan tersebut semalam.
“JKR Kuala Langat memohon maaf ke atas kejadian yang menimpa YB (yang berhormat) menteri dan akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan dan mendoakan YB cepat sembuh.”
Kenyataan itu menjawab tulisan Khairy di media sosial tersebut, yang menyertakan gambar menunjukkan lebam-lebam di mukanya akibat jatuh kerana melanggar lubang berkenaan.
Khairy menyifatkan kemalangan yang berlaku semalam itu merupakan salah satu lagi peristiwa buruk yang menimpa pada tahun pandemik 2020. – 28 Disember, 2020.
Komen