JKR sahkan pegawai positif Covid-19


Seorang pegawai JKR disahkan positif Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2020.

JABATAN Kerja Raya (JKR) hari ini mengesahkan seorang pegawai yang bertugas di ibu pejabatnya di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19.

Pegawai terbabit pulang dari Kuching, Sarawak semalam dan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Bagi menangai penularan wabak ini, JKR telah mengemukakan senarai nama kontak rapat kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Untuk makluman, kontak rapat di kalangan kakitangan JKR telah dan akan menjalani saringan kesihatan serta akan menjalani proses kuarantin di rumah,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan turut menyertakan kronologi pergerakan pegawai yang disahkan positif itu.

Pegawai berkenaan ke Kuching pada 14 September untuk menghadiri mesyuarat, dan menjalani ujian calitan di Lapangan Terbang Kuching.

Beliau kemudian menginap di Hotel Hilton.

“Dalam perjalanan pulang pihak Hospital Kuching telah menghubungi beliau, dan memaklumkan beliau positif Covid-19.

“Kedua-dua penerbangan pergi dan balik adalah dengan AirAsia,” tambah kenyataan itu.

Pegawai tersebut juga menghadiri sesi penggulungan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara pada 10 September.

JKR berkata ia telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan proses nyah cemar di pejabat dan kawasan persekitaran.

Tatacara mencegah jangkitan Covid-19 juga telah dihebahkan kepada warga kerja jabatan itu menerusi laman sosial rasmi, portal dan emel rasmi. – 17 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen