Pakatan dan PAS tidak bimbang calon MB Selangor Umno


Ikhwan Zulkaflee

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata Umno dan BN boleh mencalonkan sesiapa sahaja tetapi realitinya kedua-duanya mempunyai rekod buruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2017.

MUKA baru calon-calon Menteri Besar Selangor yang dilapor ditimbangkan oleh Barisan Nasional (BN) tidak akan memadamkan rekod buruk parti itu di Selangor, kata pemimpin PAS dan Pakatan Harapan (PH), ketika Umno yang menunjangi BN gigih berusaha merampas semula pentadbiran negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Masalah Umno ialah persekitarannya dan sistem yang diamalkannya mendedahkan pemimpinnya kepada penyelewengan dan salah guna kuasa, dan ini boleh berulang lagi pada mana-mana menteri besar pilihannya, kata pemimpin PAS.

“Dia (Umno dan BN) boleh calonkan sesiapa sahaja tetapi realitinya Umno dan BN ada rekod buruk,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi kepada The Malaysian Insight.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sabak itu berkata tiada gunanya Umno berterusan mencari calon-calon baharu yang bersih daripada sebarang skandal sekiranya ia tidak bersedia mengubah sistem dan persekitarannya yang merosakkan itu. 

Menyebut nama tiga bekas menteri besar Selangor sebelum ini – Muhammad Muhammad Taib, Abu Hassan Omar dan Khir Toyo, bekas exco kerajaan negeri Selangor itu semua pemimpin yang memegang jawatan nombor satu di Selangor itu mempunyai rekod baik sebelum terpalit dengan skandal rasuah atau salah guna kuasa. 

“Selangor ini negeri banyak duit, jadi seorang pemimpin itu mesti dilihat sebagai bertanggungjawab. Sekarang ini persoalannya bukan nak cari orang (tetapi membetulkan sistem).”

Bagaimanapun, ahli Parlimen PH Khalid Samad memberi amaran agar Pakatan Harapan Selangor tidak mengambil mudah atau memperlekehkan cabaran Umno dan BN, dan menggesa kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh PKR menangani kelemahan yang ada sebelum PRU14.

Katanya, PH tidak harus selesa dengan mandat yang diberikan oleh rakyat sebelum ini.

Mereka mengulas laporan The Malaysian Insight bahawa Umno sedang mempertimbangkan tiga nama sebagai calon Menteri Besar Selangor dalam persiapan menghadapi PRU14 yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad memberi amaran agar Pakatan Harapan Selangor tidak mengambil mudah atau memperlekehkan cabaran Umno dan BN, dan menggesa kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh PKR menangani kelemahan yang ada sebelum PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2017.

Tiga nama itu ialah Adun Batang Kali Mat Nadzari Ahmad Dahlan; Adun Dengkil Shahrom Mohd Sharif dan Adun Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi, yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar.

The Malaysia Insight bagaimanapun difahamkan Mat Nadzari, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Selangor dan Timbalan Pengerusi BN negeri merupakan calon paling menonjol berdasarkan jawatan dipegangnya.  

Pengerusi Umno Selangor Noh Omar pada Oktober lalu mengumumkan tidak bercita-cita hendak jadi Menteri Besar Selangor sebaliknya melakukan kerja politiknya sebagai menunaikan amanah rakyat.

“Bagi saya, baguslah jika Umno dah beritahu siapa calon menteri besar mereka dan rakyat Selangor boleh menilai calon-calon yang dikemukakan oleh Umno dan BN melalui prestasi dan isu yang mereka bawa di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen,” tambah Khalid.

Jelas Khalid, perkara utama yang perlu dilakukan oleh PH sekarang ialah menguatkan lagi perpaduan dalam kalangan parti komponennya.

“Kita (PH) perlu sentiasa lihat apa lagi yang boleh diperbaiki baik Adun ataupun ahli majlis kita untuk hadapi cabaran yang akan dikemukakan. 

“Yang penting, PH kena juga kena kuatkan perpaduan dan persatuan antara parti komponen untuk memastikan kemenangan di Selangor yang kita akan berdepan dengan BN dan juga PAS,” tambah Khalid. 

Selain BN, PH juga bakal berdepan cabaran dengan PAS selepas parti Islam itu membentuk gabungannya sendiri dengan parti-parti kecil atas nama Gagasan Sejahtera, menjadikannya blok ketiga parti politik bersaing dalam pilihan raya.

PAS Selangor sebelum ini mengumumkan kesediaan bertanding di sekurang-kurangnya 42 buah kerusi DUN dan sebanyak mungkin kerusi Parlimen di Selangor. 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin berkata calon dipertimbangkan Umno itu tidak akan berjaya menarik perhatian rakyat untuk kembali menyokong BN. 

“Nama-nama yang disenaraikan tidak sensasi dan tidak mampu menarik sokongan rakyat dalam kalangan masyarakat majmuk dan progresif di Selangor ini,” katanya. 

Bagi Naib Presiden PAS Iskandar Samad, beliau juga senada dengan Sallehen dan berkata Umno mempunyai rekod buruk pentadbiran di negeri tersebut dengan beberapa bekas menteri besarnya terpalit dengan skandal penyelewengan dan salah guna kuasa. 

Bekas menteri besar Selangor Muhammad, yang lebih popular dengan nama Mat Taib, ditangkap di lapangan terbang Australia dengan wang tunai sejumlah berat 19 kilogram, yang tidak diisytiharkan kepada pihak berkuasa negara itu. 

Bekas menteri besar Selangor Muhammad, yang lebih popular dengan nama Mat Taib, melepaskan jawatannya pada 1997 selepas didakwa mengikut Akta Laporan Transaksi Kewangan 1988, Australia di Mahkamah Majistret Brisbane. Dia ditangkap di lapangan terbang Australia dengan wang tunai sejumlah berat 19 kilogram, yang tidak diisytiharkan kepada pihak berkuasa negara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2017.

Beliau melepaskan jawatannya pada 1997 selepas didakwa mengikut Akta Laporan Transaksi Kewangan 1988, Australia di Mahkamah Majistret Brisbane. Muhammad bagaimanapun didapati tidak bersalah. 

Muhammad digantikan dengan Abu Hassan yang memenangi PRK Permatang pada tahun 1997, yang diadakan bagi membolehkannya memegang jawatan menteri besar. 

Abu Hassan bagaimanapun hanya bertahan selama tiga tahun sebelum meletak jawatan pada tahun 2000 setelah diselubungi dengan dakwaan salah guna kuasa dan serangan peribadi ke atasnya. 

Khir Toyo, pengganti Abu Hasaan pula, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2011 atas tuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 Shah Alam pada harga yang lebih rendah daripada nilai semasa pada 2007. 

Umno Selangor baru-baru ini mengumumkan tiga bekas menteri besar itu akan berkempen untuk BN pada PRU14 nanti. – 24 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen