Jentera pilihan raya PAS Selangor siap siaga hadapi PRU14


PAS Selangor bersedia bertanding sekurang-kurangnya 42 kerusi negeri dan sebanyak mungkin kerusi Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2017.

PAS Selangor hari ini meletakkan kesemua jentera pilihan rayanya di 22 Parlimen dan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahap persediaan tertinggi akan kemungkinan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) bila-bila masa.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Sallehen Mukhyi berkata parti Islam itu bersedia bertanding sekurang-kurangnya 42 kerusi negeri dan sebanyak mungkin kerusi Parlimen untuk mencapai matlamat slogan pilihan rayanya “Menerajui Kesejahteraan Selangor”.

“PAS beriltizam untuk meneruskan kemakmuran dan kesejahteraan negeri yang dicapai bersama melalui kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bagi dua penggal berturut-turut bermula 2008 dan 2013 dan akan berusaha serta mengambil inisiatif dan pelbagai langkah serta pendekatan Islam untuk mempertingkatkan lagi pencapaian yang ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Salehen berkata penyediaan dari segi jentera dan tenaga manusia semuanya telah bersedia bagi menghadapi cabaran baru untuk pilihan raya akan datang.

“Pada hari ini PAS di negeri Selangor dipelbagai peringkat sudah bersedia dengan jentera yang terlatih dan tenaga yang mencukupi bagi menghadapi cabaran baru PRU14 di bawah panji-panji Gagasan Sejahtera dan bertekad untuk membawa kemenangan bermakna sebagaimana diingini rakyat khasnya di negeri ini,” katanya. – 16 September, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen