8 kluster baharu Covid-19 dikesan, 4 babit tempat kerja


Aminah Farid

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau kini 206, di mana 52 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan lapan kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu, dengan empat daripadanya berkaitan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau kini 206, di mana 52 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

Katanya, sebanyak 427 kes baharu dikesan di empat kluster membabitkan tempat kerja iaitu Tapak Bina Residen, Bukit Naga, Tapak Bina Kasih dan Tapak Bina Sinar View, kesemuanya di Lembah Klang.

Manakala empat kluster lain dikesan melalui melalui saringan individu bergejala di Sabah, Selangor, Johor dan Perak.

Menurut Dr Noor Hisham, kluster Tapak Bina Residen dikesan melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Sebanyak 294 kes positif dikesan dalam kluster ini.

Kluster Bukit Naga juga dikesan di tapak binaan, iaitu di Klang, Selangor dengan 58 kes positif Covid-19 dilaporkan.

Manakala kluster Tapak Bina Kasih yang dikesan di tapak binaan di Kepong, Kuala Lumpur pula, KKM mengesan 43 kes positif.  Satu lagi kluster dikesan melalui saringan bersasar di tapak binaan di daerah Kepong ialah Tapak Bina Sinar View, dengan 32 kes positif dilaporkan.

Bagi kluster Pasar Baru yang membabitkan daerah Klang dan Kuala Langat di Selangor pula, ia dikesan melalui saringan individu bergejala dengan 309 kes dilaporkan.

Sementara itu, kluster Paginatan, membabitkan daerah Ranau, Papar dan Kota Belud di Sabah merekodkan 47 kes positif.

Di Johor Bahru pula, kluster Tampoi Jaya merekodkan 32 kes, manakala kluster Rapat melibatkan daerah Kinta dan Perak Tengah di Perak melaporkan tujuh kes. 

Ketiga-tiga kluster ini juga dikesan melalui saringan individu bergejala. – 22 Disember, 2020.  

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen