Bimbang pandemik berterusan, ibu bapa kurangkan bajet beli barang sekolah


Angie Tan

Sesi persekolahan di negara ini dijangka dibuka semula pada Januari tahun depan namun ibu bapa masih ragu-ragu untuk membeli barangan keperluan sekolah disebabkan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2020.

PENGUSAHA perniagaan peralatan persekolahan terus berdepan kebimbangan yang tidak berpenghujung apabila sekolah di seluruh negara akan dibuka semula pada Januari depan selepas ditutup berbulan lamanya bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Kira-kira sebulan lagi sebelum sekolah dijadualkan dibuka semula, mereka khuatir apabila ibu bapa belum menunjukkan minat untuk membeli peralatan sekolah untuk anak-anak.

Presiden Persatuan Pengilang-Pengilang Kasut Malaysia Rachel Foo berkata, sebelum ini kebiasaannya ibu bapa membeli tiga hingga empat pasang kasut sekolah untuk anak-anak tetapi kini mereka hanya membeli satu atau dua pasang sahaja.

“Kaki anak-anak akan terus membesar, jadi saya percaya ibu bapa akan terus membeli kasut sekolah baharu sebelum bermulanya sekolah tetapi mereka akan mengurangkan jumlah pembelian,” katanya.

Beliau berkata banyak peniaga mengurangkan stok mereka untuk mengelakkan jualan yang perlahan.

“Industri runcit untuk kasut sekolah sangat terjejas pada 2019 dan apabila berlakunya pandemik tahun ini, industri secara umumnya tidak optimis terhadap jualan pada tahun depan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata hasil sebenar jualan kasut sekolah mungkin hanya diketahui pada Januari 2021.

Foo berkata kerajaan kini tidak lagi memaksa pelajar sekolah rendah dan menengah memakai kasut hitam pada 2021.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan berkata pemakaian kasut sekolah berwarna hitam akan bermula pada 2021.

Tetapi minggu lalu Kementerian Pendidikan berkata pelajar boleh terus memakai kasut sekolah berwarna putih.

“Apabila kerajaan mengumumkan peraturan pemakaian kasut hitam dua tahun lalu, ramai peniaga sudah menjual kasut putih dengan harga rendah menyebabkan mereka kerugian besar.

“Kami tidak menyangka kerajaan akan mengumumkan pusingan U. Pada masa ini industri lebih berhati-hati, membuat keputusan untuk tunggu dan lihat, serta tidak akan membeli kasut putih buat masa ini,” katanya.

Bermula tahun depan pelajar sekolah bebas untuk memilih kasut putih atau hitam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2020.

Harga juga akan naik

Foo berkata kenaikan harga barang global juga meningkat dan nilai ringgit yang lemah, harga runcit kasut sekolah juga meningkat tetapi kenaikan tidak lebih 10%.

“Saya belum menerima data tertentu tetapi saya perhatikan harga kasut sekolah di pasaran sudah meningkat tidak lebih 10% berbanding tahun lalu,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Pemborong Pakaian Malaysia Ang Say Tee berkata harga runcit pakaian sekolah juga dijangka naik kerana pakaian seragam ini rata-ratanya diimport dari China.

“Beberapa syarikat sudah beralih ke Vietnam untuk menghasilkan seragam sekolah tetapi mereka juga berdepan kenaikan kos penghantaran,” katanya.

Beliau berkata disebabkan belum ada kepastian sama ada sekolah akan bermula tanpa halangan tahun depan, ramai peniaga merancang mengurangkan pembelian.

“Pasaran tidak stabil. Setiap orang mengurangkan pembelian dan berusaha mengekalkan keuntungan kecil tetapi pusing ganti yang segera.

“Namun jika vaksin dikeluarkan tahun depan dan pandemik bertambah baik, saya percaya ia akan meningkatkan perniagaan industri. Tetapi jika wabak berlanjutan industri akan jatuh sebanyak 50%,” katanya.

Beliau berkata trend pasaran semasa tidak dapat diramalkan dan industri hanya dapat bergerak ke depan selangkah demi selangkah.

Wong Mee Kii, 44, ibu kepada dua anak berkata gajinya dipotong tahun ini dan terpaksa menabung sebanyak mungkin bagi membuat persedian menyambut Tahun Baharu Cina yang bakal disambut selepas sekolah dijadualkan dibuka semula tahun depan.

“Beg sekolah dan pensil boleh digunakan semula. Bagi pakaian seragam sekolah, saya akan memastikan terlebih dahulu sama ada pakaian lama masih boleh dipakai. Untuk kasut, biasanya perlu ditukar kerana kaki anak-anak cepat membesar,” katanya.

Seorang lagi ibu, Woon May Fong, 42, berkata anaknya yang berusia 9 tahun mendapat peralatan sekolah baharu setiap tahun.

“Saya membeli peralatan sekolah baharu setiap tahun dan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM300,” katanya. – 18 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen