SEMUA pelajar sekolah rendah dan menengah dibenarkan untuk memilih sama ada memakai kasut warna hitam atau putih bermula sesi persekolahan tahun depan, menurut surat pekeliling semalam.
“Mesyuarat Profesional Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 17 November, 2020 teah memutuskan bahawa mulai tahun 2021 semua murid dibenarkan untuk memilih sama ada memakai kasut berwarna hitam atau berwarna putih serta stoking mengikut warna kasut yang dipakai,” menurut surat pekeliling bertarikh 7 Disember itu.
Surat berkenaan yang dilihat The Malaysian Insight, ditujukan kepada semua pengarah pendidikan negeri.
“KPM juga menetapkan bahawa kasut adalah yang diperbuat daripada kanvas atau bahan sintetik lainnya seperti nylon atau poluyester yang mempunyai daya resap dan penyaluran gerak udara dengan mengambil kira faktor keselesaan, keselamatan dan kesihatan,” kata KPM.
“SPI ini berkuatkuasa serta merta dan dengan berkuatkuasanya SPI ini, surat ekeliling bertarikh 20 November, 2018 mengenai pemakaian kasut berwarna hitam sahaja adalah dibatalkan.”
Pemakaian kasut hitam mula diperkenalkan pada 2018 oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang turut menerima pelbagai kritikan.
Ia dijadualkan berkuatkuasa pada 2021.
Cadangan Maszlee turut disokong oleh ibu bapa yang bersetuju kasut hitam lebih praktikal dan menjimatkan kos.
Maszlee berkata langkah itu adalah untuk membantu ibu bapa mengurangkan beban kewangan kerana terpaksa menukar kasut putih lebih kerap.
“Saya tengok ada yang komen bahawa perubahan itu pada otak, bukan pada kaki. Tetapi bagi saya perubahan itu bermula dengan kasut hitam,” katanya semasa muncul dalam program Bicara Khas di RTM1 pada 2018.
“Apabila pakai kasut hitam, duit yang dijimatkan boleh digunakan untuk beli buku, masa yang dijimatkan untuk mencuci kasut boleh digunakan untuk membaca buku.”
Beberapa minggu sebelum meletakkan jawatan sebagai menteri pendidikan, tinjauan mendapati Maszlee muncul sebagai menteri Kabinet paling tidak popular. – 8 Disember, 2020.
Komen