Umno perlu sokong Muhyiddin atau hilang kuasa politik, kata penganalisis 


Bernard Saw

Umno perlu menyokong kerajaan Perikatan Nasional untuk terus mengekalkan kuasa politiknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2020.

UMNO kini tiada pilihan selain menyokong Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional ketika ini, kerana tidak mahu hilang kuasa politiknya sendiri, kata penganalisis.

Menurut mereka, pimpinan Umno menyedari bahawa parti mereka tidak akan menerajui kerajaan secara automatik.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, terdapat kemungkinan pihak lain, termasuk pesaingnya PKR dan Anwar Ibrahim, atau Dr Mahathir Mohamad akan mengambil peluang untuk membentuk kerajaan sekiranya Muhyiddin ditumbangkan.

Mereka mengatakan ini selepas Umno menyokong Perikatan bagi memastikan Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat ketiga dan terakhir di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sebarang tindakan oleh ahli Parlimen Umno yang tidak menyokong belanjawan akan menyebabkan ia ditolak sekaligus menyebabkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hilang undi percaya di Parlimen.

Belanjawan 2021 lulus dengan majoriti tiga undi, memberi peluang kepada Perikatan peluang untuk terus mentadbir negara dengan sokongan 111 ahli Parlimen.

Ahli sains politik dari Universiti Teknologi MaLaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, pentadbiran Muhyiddin kini boleh mengambil peluang ini untuk berunding  berhubung agihan kerusi dengan Umno untuk pilihan raya umum ke 15.

“Umno mungkin bimbang sekiranya tidak menyokong Muhyiddin, ia akan memberi ruang kepada pihak lain untuk membentuk kerajaan, termasuk kemungkinan Pakatan Harapan akan kembali menerusi Anwar atau Dr Mahathir.

“Katakan Muhyiddin tumbang, ia tidak menjamin Umno akan berpeluang untuk memegang jawatan perdana menteri. Ia turut memberi peluang kepada DAP (untuk mentadbir). Jadi, Umno tidak berani untuk menyusun semula situasi politik,” katanya.

Tambahnya, sekiranya Umno menjadi pencetus kejatuhan Perikatan, sukar untuk mendapat sokongan sekutu sedia ada dan pasti lebih sukar untuk menubuhkan kerajaan yang stabil.

“Sekiranya Umno terus menyokong kerajaan Muhyiddin kini, Umno masih boleh mainkan beberapa peranan. Malah tiada konsensus antara Umno dengan parti pembangkang lain.

“Mereka bimbang selepas kejatuhan Perikatan, ia akan menyebabkan krisis politik baharu, dan sukar untuk menjamin Umno akan terus kekal berkuasa. Umno mungkin akan mencari jalan penyelesaian lain.” – 17 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen