Gabungan besar antara Perikatan, Barisan dan GPS akan gagal, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin sebelu ini menggesa PN, BN dan GPS membentuk gabungan besar bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2020.

CADANGAN “gabungan besar” terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak akan gagal kerana setiap parti komponen mempunyai agenda politiknya sendiri, kata penganalisis politik.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight gabungan besar itu tidak akan berjaya kerana tiada agenda atau ideologi sama yang akan menyatukan parti komponen.

“Setiap parti komponen ada agenda tersendiri dan akan berlaku konflik antara satu sama lain,” kata Dr Azmil Tayed dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Sosial USM itu berkata, idea itu merupakan langkah terdesak PN untuk kekal berkuasa.

Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah ditubuhkan dengan beberapa objektif yang sama seperti membanteras rasuah, mengalakkan tadbir urus yang baik dan menegakkan keadilan.

Bersatu merupakan sebahagian daripada PH sebelum memutuskan untuk keluar daripada gabungan itu awal tahun ini untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional, PAS dan parti dari Sabah dan Sarawak.

Perikatan Nasional ditubuhkan susulan kejatuhan kerajaan PH pada Februari tetapi hingga kini, tanda-tanda ketidakpuasan di antara parti komponen, terutama antara Umno dan Bersatu, semakin jelas.

Baru-baru ini, Adun Umno Perak mengemukakan usul tidak percaya terhadap Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, yang juga timbalan presiden Bersatu. Majoriti Adun Perak memilih menentang Faizal dan Adun Chenderiang itu terpaksa meletakkan jawatan sebagai MB.

Azmil berkata sebagai permulaan, akan ada banyak rasa tidak puas hati mengenai pembahagian kerusi menjelang pilihan raya umum ke-15.

“Bagaimana gabungan besar yang disebut ini bersedia dan bersetuju dengan pembahagian kerusi dan strategi pilihan raya untuk PRU15?

“Satu-satunya perkara yang dapat mengekalkan gabungan besar ini adalah perlindungan kerajaan PN tetapi itu juga tidak dapat dilaksanakan. Gabungan besar yang dicadangkan ini ditakdirkan untuk gagal,” tambah Azmil.

Selepas Perikatan Nasional ditubuhkan, PAS dilihat lebih cenderung untuk bekerjasama dengan kerajaan pentadbiran Muhyiddin Yassin.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2020.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin menggesa PN, BN dan GPS membentuk gabungan besar bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang dan terus mentadbir kerajaan persekutuan. Beliau mencadangkan agar idea ini diciptakan secara formal untuk melambangkan penyatuan ketiga-tiga gabungan utama.

Pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali, turut senada dengan Azmil yang mengatakan bahawa sukar bagi Umno untuk menerima gabungan seperti itu.

“Di atas kertas, ideanya bagus tetapi untuk melaksanakannya akan menjadi sukar dan rumit. Masalahnya adalah Umno. Sekiranya Umno mahukan kerjasama seperti itu, ia akan menerima tawaran itu ketika PN dibentuk.

“Namun hingga hari ini, kita lihat ada masalah dan keluhan dari pemimpin Umno. Mereka ingin memimpin kerana mereka mempunyai jumlah kerusi terbanyak dan merupakan parti paling kanan.

“Masalahnya adalah mengenai pembahagian kerusi dan kedudukan dalam pentadbiran baik di peringkat negeri atau persekutuan. Tidak mudah untuk mencari jalan persamaan. Ini adalah peluang tipis bahawa mereka boleh bersetuju dengan perkara ini,” kata Mazlan.

Sebelum pembentukan Perikatan Nasional, Umno dan PAS telah menandatangani perjanjian untuk bekerjasama secara politik di bawah piagam Muafakat Nasional (MN).

Tujuan mereka adalah untuk menubuhkan kerajaan Melayu-Muslim yang dominan tetapi sebaik sahaja PN ditubuhkan, PAS dilihat lebih suka bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin daripada Umno.

Ini telah membuat beberapa pemimpin Umno marah, termasuk bekas menteri besar Johor, Mohamed Khaled Nordin yang meminta PAS memilih antara PN atau MN.

James Chin dari Institut Asia University of Tasmania pula mengatakan GPS tidak akan bersetuju dengan idea berkenaan kerana parti itu akan dituduh berada di bawah kawalan pihak Semenanjung Malaysia.

Katanya, MCA dan MIC juga tidak akan setuju kerana kedua-dua pihak ketika ini tidak berpuas hati dengan PN.

Idea politik “GPS” adalah sentiasa mengutamakan Sarawak.

“Sekiranya mereka setuju, mereka akan dituduh berada di bawah kawalan parti dari Semenanjung Malaysia. MCA dan MIC juga tidak gembira kerana mereka merasa dipinggirkan di bawah PN.

“Keseluruhan idea ini adalah untuk mengekalkan Bersatu berkuasa yang tidak akan menggembirakan Umno,” kata Chin.

Umno mesti buang mentaliti “abang besarnya”.

Ahmad Marthada Mohamed dari Universiti Utara Malaysia berkata, Umno terlebih dahulu perlu menyingkirkan mentaliti abang besarnya sekiranya gabungan besar itu berjaya.

Katanya, parti-parti lain juga mesti bersedia untuk melepaskan agenda politik mereka sendiri untuk tujuan bersatu.

“Umno tidak boleh menganggapnya sebagai abang besar. Umno bukan lagi abang besar dan tidak boleh bertindak seolah-olah masih begitu. Mentaliti ini tidak akan berfungsi dengan baik dalam gabungan besar.

“Setiap parti politik mesti melepaskan agenda mereka sendiri. PAS misalnya mesti sekurang-kurangnya buat masa ini, melepaskan agenda Islamnya dan Umno dari agenda Melayu.

“Hanya itu sahaja caranya untuk mereka dapat bekerjasama dalam gabungan besar yang mempunyai pelbagai kepercayaan politik,” kata Chin. – 13 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen