Kerjasama PN-BN-GPS perlu kekal untuk hadapi PRU15, kata Hamzah


Hamzah Zainuddin mencadangkan satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan BN, PN dan GPS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2020.

BAGI memastikan Perikatan Nasional (PN) terus berkuasa, gagasan besar antara Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu dibentuk untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, kata Hamzah Zainuddin.

Setiausaha agung Bersatu berkata, permuafakatan politik ini mesti dipertahankan untuk menghadapi PRU15.

“...agar PN bukan hanya dapat terus memerintah sebagai kerajaan pusat tetapi juga berjaya mengambil alih kerajaan negeri yang masih lagi diperintah oleh pembangkang.

“Untuk memastikan kelangsungan permuafakatan ini, saya mencadangkan satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan semua tiga gabungan parti besar yang bersama kerajaan pimpinan PN hari ini iaitu PN, BN dan GPS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamzah yang juga menteri dalam negeri berkata, gagasan itu akan menjulang wawasan dan aspirasi diperjuangkan semua parti politik yang bergabung di bawahnya.

“Oleh itu, satu Piagam Persefahaman Politik antara tiga gabungan parti besar ini harus segera direalisasikan. 

“Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan.”

Hamzah berkata semasa pembentukan PN, kedudukan kerajaan negeri juga diambil kira untuk memastikan kesinambungan antara kepemimpinan kerajaan persekutuan dan negeri.

“Bagi tujuan tersebut, kerjasama politik tidak dijalinkan atas dasar parti yang mempunyai bilangan Adun terbesar semata-mata, tetapi ianya juga atas dasar tolak ansur dan persetujuan bersama di antara semua parti yang terlibat. 

“Dalam hal ini, pembahagian jawatan-jawatan ketua menteri dan menteri besar perlu diputuskan secara konsensus bagi memelihara kerjasama politik yang kukuh dan utuh.

“Contohnya di negeri Perak, jawatan menteri besar dikekalkan menjadi milik Bersatu memandangkan jawatan tersebut telahpun dijawat oleh wakil Bersatu sebelum pembentukan kerajaan PN,” katanya merujuk kepada penggulingan menteri besar Bersatu daripada Umno.

Semalam, Adun Kota Tampan, Saarani Mohamad mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Saarani, 59, menggantikan Pimbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, yang mengundurkan diri bersama exco pada Sabtu lalu, selepas kalah undi percaya.

Di Johor, Hamzah berkata jawatan menteri besar diserahkan kepada Umno walaupun jawatan tersebut pada asalnya adalah milik Bersatu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan negeri yang diketuai wakil daripada Umno adalah sebanyak empat negeri termasuklah di Melaka, Perlis dan Pahang.

“Bagi PAS pula, persetujuan telah dicapai untuk wakil PAS mengetuai kerajaan di tiga negeri iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala PBB yang mewakili GPS dipersetujui untuk kekal menerajui kepimpinan negeri Sarawak.”

Hamzah berharap permuafakatan politik ini dapat mengukuhkan kedudukan kepemimpinan kerajaan PN.

Kerjasama PN berdepan ujian susulan langkah Umno di Perak, dengan Bersatu dan PAS pada awalnya menolak untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan baharu. – 11 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen