PAS terima apa saja keputusan Sultan Perak, kata Tuan Ibrahim


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu akan menerima apa sahaja keputusan Sultan Perak mengenai pelantikan bagi memenuhi majlis mesyuarat kerajaan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2020.

PAS membayangkan akan menerima ketentuan seandainya wakil rakyat parti itu tidak dilantik sebagai exco dalam kerajaan baharu Perak pimpinan Saarani Mohamad dari Umno.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu akan menerima apa sahaja keputusan Sultan Perak mengenai pelantikan bagi memenuhi majlis mesyuarat kerajaan negeri.

“Tentunya akan ada pertambahan exco bagi melengkapkan urus tadbir kerajaan negeri. Ini kita serah sepenuhnya kepada kebijaksanaan tuanku.

“PAS melihat isu yang paling utama selesai hasil muafakat bersama. Soal Adun PAS dilantik sebagai exco atau tidak adalah hak tuanku Sultan Perak.

“PAS akur apa sahaja yang baik pada pandangan tuanku kerana yakin kestabilan kerajaan adalah keutamaan tuanku,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Ia menyusuli permohonan maaf dibuat tiga wakil rakyatnya yang tidak tampil menghadap pada Selasa lalu seperti dititahkan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

PAS mentakrifkan keputusan untuk tidak menghadap sebagaimana dititahkan itu sebagai satu “kekhilafan” kerana tidak mahu membuat keputusan yang silap mengenai calon menteri besar.

Mengulas mengenai tindakan itu, Tuan Ibrahim yang juga menteri persekutuan juga menangkis dakwaan bahawa parti itu bertindak derhaka ke atas Sultan Nazrin.

“Tidak timbul soal derhaka atau tidak, kerana sesuatu kemelut politik harus dilihat secara menyeluruh bukan hanya sesuatu juzuk untuk membuat penilaian.

“Maka kita yakin mengurus kemelut yang berlaku memerlukan ruang tersendiri dan waktu yang sangat singkat.

“Dalam situasi begini, tidak hairan kalau salah faham, silap maklumat dan tentunya golongan yang  berkepentingan akan mengambil kesempatan,” katanya.

Tindakan PAS mengarahkan tiga wakil rakyat tidak menghadap Sultan Nazrin dilaporkan menyebabkan Adun terbabit tidak akan dilantik sebagai exco dalam kerajaan baharu Perak.

Jurucakap Istana Kinta Mohd Annuar Zaini ketika mengulas perkara itu pula membayangkan ia sememangnya berpunca daripada tindakan PAS yang enggan menghadap baginda.

“Inilah akibat tidak mendengar nasihat yang betul,” katanya sewaktu mengulas laporan tersebut di media sosial.

Tiga wakil rakyat PAS Perak mengumumkan permohonan maaf kepada Sultan Perak semalam selepas Saarani mengumumkan, lima lagi calon exco hanya boleh dilantik dengan perkenan Sultan.

Lima exco sudahpun mengangkat sumpah pada Khamis termasuk seorang Adun dari Bersatu, Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik).

Empat lagi dari BN dilantik semula – Zolkafly Harun (Lintang), Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota).

Saarani mengisi kekosongan jawatan menteri besar selepas pendahulunya Ahmad Faizal meletak jawatan apabila ditolak majoriti wakil rakyat dalam undian di Dun Perak pada Jumaat.

Dalam undian ke atas usul undi percaya oleh Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu), Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi sokongan berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali.

Tiga wakil rakyat PAS tersebut, Razman Zakaria (Semanggol), Shahrul Zaman Yahya (Rungkup) dan Akmal Kamarudin (Selama) merupakan antara 10 Adun yang menyokong Ahmad Faizal. – 12 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen