Anda tidak sendirian, suara anda didengar


Melati A. Jalil

SEKUMPULAN pelajar dan pensyarah memulakan projek komuniti yang mendengar dengan matlamat untuk menghapuskan stigma terhadap masalah kesihatan mental, di mana kaji selidik kerajaan menunjukkan ia menjejaskan hampir satu dalam setiap tiga warga Malaysia.

Pertama seumpamanya di Asia, projek “Sidewalk Talk Malaysia” menyediakan perkhidmatan mendengar kepada sesiapa yang merasakan mereka tidak ada sesiapa untuk bercakap tentang masalah mereka.

Mereka yang mempunyai masalah serius akan dinasihatkan untuk pergi ke saluran yang ada bagi mendapatkan kaunseling dan rawatan.

“Bila seseorang mendengar, anda rasa yang anda penting,” kata pensyarah psikologi Lim Mengzhen, yang juga salah seorang sukarelawan dalam projek itu.

“Perasaan yang ingin dicipta menerusi projek ini ialah untuk menjadikan seseorang rasa dirinya penting. ‘Iaitu apa juga aku cakap, ada seseorang sedang mendengar’ – begitulah caranya kami menggalakkan kesihatan mental yang baik,” kata Lim dari kolej SEGI Subang Jaya kepada The Malaysian Insight.

“Kami memberikan suara kepada masyarakat, semua suara akan dihormati tanpa mengira sama ada kami setuju atau tidak dengan apa yang disuarakan.”

“Sidewalk Talk” menyediakan pendengar yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin, Tamil dan juga Jepun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Disember, 2017.

Projek itu diilhamkan daripada satu projek hampir sama di San Francisco, Amerika Syarikat.

“Sidewalk Talk Malaysia” ialah projek masyarakat mendengar yang pertama di Asia, dijalankan oleh sukarelawan pelajar dan pensyarah untuk mempromosikan kepentingan hubungan manusia menerusi pendengaran empati di tempat awam.

Kumpulan itu bekerjasama dengan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Befrienders Kuala Lumpur dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sesinya akan diadakan sekali dalam setiap dua minggu di dua lokasi di pusat beli-belah Sunway Pyramid. Setiap sesi berlangsung 10 minit, iaitu sesiapa pun boleh datang n bercakap serta berkongsi apa yang mereka suka.

Projek itu dianggap bertepatan pada masanya ketika insiden masalah kesihatan mental semakin meningkat, menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015.

Pada 2015, 2.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, atau 29.2% daripada populasi, mengalami masalah kesihatan mental.

Angka itu menunjukkan peningkatan ketara daripada 11.2% yang direkodkan pada 2006.

Perasaan positif

Lim berkata idea mengadakan projek itu datang daripada keinginan untuk mendidik masyarakat tentang khidmat disediakan oleh pakar psikologi dan kepentingan mengekalkan kesihatan mental.

“Selepas perbincangan diadakan antara pensyarah dan pelajar, kami mendapati kami perlu membina sistem sokongan sendiri, kalau tidak statistik akan terus kekal menjadi statistik.

“Kami mengajar kaunseling rakan sebaya pada mulanya, tetapi menyedari ia sukar kerana anda perlu ada lesen. Jadi kami tukar idea kaunseling rakan sebaya, kepada mendengar.”

Kajian mereka membawa mereka kepada “Sidewalk Talk San Francisco”. Mereka menulis kepada kumpulan itu di AS dan kemudian mereka membalasnya dan melatih sukarelawan Malaysia. kumpulan itu mengguna pakai modul AS dan disesuaikan dengan budaya Malaysia.

“Sidewalk Talk” menyediakan pendengar yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin, Tamil dan juga Jepun.

Lim berkata pada masa ini mereka bercadang untuk meneruskan projek itu hingga April tahun depan, sebelum statistik keluar untuk membangkitkan kepentingan projek berkenaan.

Kira-kira 30 sukarelawan pelajar dan pensyarah dari jabatan psikologi menghabiskan kira-kira 100 jam untuk projek itu.

Statistik yang berjaya dikumpulkan ialah daripada 77 individu dalam tempoh lima bulan, agak memberangsangkan.

Kira-kira 83.9% berkata mereka rasa positif selepas sesi mendengar itu. Kira-kira 35.5% berkata mereka tidak mempunyai sokongan sosial atau orang untuk mendengar apa yang mereka rasa.

Topik utama ialah keluarga (40.3% daripada peserta), diikuti dengan akademik (36.4%), isu persahabatan (26%), kerja (16.9%) dan hubungan (15.6%).

Empati, bukan nasihat

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Shymala Chandran berkata projek itu menyediakan ruang untuk mendengar secara empati.

“Kami cuba meletakkan rasa empati yang tinggi dalam perbualan. Maksudnya, saya dengar luahan anda bukan dengan niat untuk menjawab, tetapi saya nak awak rasa yang kami mendengarnya dengan sepenuh hati.

“Kami ada dengar kes pelajar bunuh diri, contohnya kerana keputusan UPSR. Kemudian orang akan tanya kenapa bunuh diri pasal UPSR, sebelum persoalan itu tergantung begitu saja. Mereka tidak kaji dengan lebih dalam, tentang faktor yang membawa kepada bunuh diri.

“Dengan mengelak daripada berbincang mengenai faktor penyumbang itulah menyebabkan kes bunuh diri meningkat.”

Projek “Sidewalk Talk Malaysia” menyediakan ruang untuk suara anda didengar secara empati, tanpa perlu bimbang diri anda dihakimi atau dinasihati. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Disember, 2017.

Lim menekankan projek itu tidak menyediakan campur tangan krisis, terapi atau kaunseling.

“Kami tidak memberikan rawatan kerana masyarakat mahu orang mendengar, bukan (minta) nasihat. Malah kami juga nak wujudkan perasaan sama rata, yang membantu untuk saling memahami antara satu sama lain.

“Dan jika anda fikir anda perlukan pertolongan selepas sesi mendengar, kami akan kongsi maklumat mengenai khidmat atau tempat yang boleh menawarkan bantuan. Namun terpulang kepada anda untuk pergi atau tidak.

“Kami mahu mendidik masyarakat. Jadi kami memberikan maklumat tepat yang diperlukan,” kata Lim.

Dan sesi itu bukan untuk mereka yang bermasalah saja.

“Sesiapa saja boleh datang duduk dan bercakap apa saja. Contohnya, kalau mereka dinaikkan pangkat di tempat kerja, kami pun akan rasa gembira untuk dengar,” kata Shymala.

Katanya, kumpulan itu senantiasa mencari rakan kongsi yang boleh menyokong dan terlibat sama bagi membolehkan projek itu berkembang.

“Kami mahu meluaskan lagi projek ini. Pada masa ini, ‘Sidewalk Talk Malaysia’ di bawah SEGi. Jika kami dapat sokongan lebih dan bantuan daripada rakan kongsi atau mana-mana organisasi kesihatan mental, projek ini boleh di bawah ke seluruh negara,” katanya. – 27 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen