MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mabuk dengan perkauman dan ekstremisme agama, dan tunjuk sikap tidak matang menerusi analogi minum todi yang ditujukan kepada pengkritiknya beragama Hindu, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy.
Ramasamy turut memberi amaran Sanusi mungkin menerima nasib sama, disingkirkan daripada jawatannya, merujuk kepada Ahmad Faizal Azumu yang hilang sokongan dan terpaksa meletak jawatan menteri besar Perak semalam.
“Saya hendak nasihatkan Sanusi supaya jangan bermain api dengan memusnahkan kuil Hindu dan rumah ibadat atas alasan dibina secara haram,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan.
Menyambung pertikaman lidah mereka, Ramasamy turut mengecam Sanusi kerana menggunakan analogi minum todi berhubung kritikan terhadap tindakan merobohkan kuil di Kedah.
“Komen beliau yang kami mabuk populariti todi, mencetukan ketegangan agama dalam kalangan India di negeri itu.
“Cara Sanusi guna analogi minum todi untuk menyifatkan tindakan pemimpin MIC dan DAP, tidak sepatutnya digunakan oleh seorang menteri besar.
“Kalau India dikaitkan dengan minum todi, maka tidak keterlaluan jika saya katakan Sanusi khayal ganja dan heroin kerana merobohkan rumah ibadat Hindu tanpa belas kaishan,” katanya.
Ramasamy berkata beliau mempertahankan hak masyarakatnnya terhadap mereka yang seperti Sanusi yang mabuk dalam isu perkauman dan ekstremis agama.
Dalam laporan sebelum ini, Sanusi menyelar pengkritiknya berhubung tindakan kerajaan negeri merobohkan kuil Sri Madurai Veeran Hindu di Alor Setar, dan mendakwa mereka mengapi-apikan sentimen agama dan keagamaan. – 5 Disember, 2020.
Komen