MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menyelar kembali pengkritiknya yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya berhubung tindakan perobohan kuil Hindu di negeri itu.
Beliau berkata ketua pengkritiknya, pemimpin MIC dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy, yang mengapi-apikan sentimen kaum dan agama untuk menjadi jaguh, berkenaan perobohan itu.
Beliau berkata berlaku serangan politik terhadap kerajaan negeri berkaitan isu kuil yang diputar belit daripada sudut fakta sejarah dengan ada dakwaan 30 tahun dan ada juga mendakwa 50 tahun, sedangkan pihak berkuasa mempunyai rekod sebenar tentangnya.
“Bangunan itu hanya muncul beberapa tahun kebelakangan ini saja, dari asalnya sebuah berhala yang diletakkan di perdu sebatang pokok.”
Sanusi berkata kes diputarbelitkan untuk membina persepsi bahawa PAS adalah pelampau agama yang mendiskriminasi agama lain.
“Kununnya kuil itu berusia lebih 100 tahun, padahal hanya dibina beberapa tahun lalu saja. Untuk satu tapak kuil yang berada di atas tanah KTM yang terbabit dengan pembangunan untuk orang ramai, berapakah tapak baru patut diberikan sebagai ganti?
“Tiada siapa di kalangan pemimpin politik kaum India dari MIC atau DAP berani mendedahkan fakta ini. Sebaliknya semua mereka mengapi-apikan sentimen kaum dan agama untuk menjadi jaguh. Jaguh kaum, jaguh agama atau jaguh putar belit?”
Sanusi berkata di Taman Bersatu, bukan kuil itu saja dirobohkan, sebuah gelanggang silat juga dirobohkan di bawah akta yang sama.
“Di lokasi lain di Alor Setar juga, ada gerai, parkir kereta, setor, pagar, dapur, bangsal turut dirobohkan. Kenapa MIC dan DAP tidak bersuara tentang gelanggang silat di pinggir kuil itu?,” katanya.
“Ahli politik senior seperti mereka itu janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol,” katanya di Facebook.
Beliau berkata struktur tidak sah lain di sekitar Alor Setar juga dirobohkan, dan kerajaan negeri hanya menguatkuasakan kedaulatan undang-undang.
Katanya, jangan sampai kita bergaduh pada masa depan hanya kerana “mabuk todi populariti”, mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang.
Sanusi berkata kuil itu diberikan tapak pemindahan yang lebih baik di Alor Setar tetapi tawaran itu ditolak oleh pengurusan kuil.
Menteri besar itu dikecam dan dikritik sejak akhir-akhir ini berhubung perobohan Kuil Sri Madurai Veeran di Alor Setar.
Beliau berkata kuil itu dirobohkan kerana ia dibina di atas tanah tanpa kebenaran dan melanggar undang-undang. – 5 Disember, 2020.
Komen