Najib seru umat Islam sertai himpunan selamatkan Baitulmuqaddis


Tindakan Donald Trump iktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel menimbulkan kemarahan masyarakat antarabangsa. – Gambar AFP, 22 Disember, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak menyeru umat Islam di Malaysia untuk menghadiri Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Putrajaya hari ini.

Katanya, kehadiran itu penting bagi menunjukkan sokongan dan perpaduan umat Islam di Malaysia dalam menentang kekejaman terhadap rakyat Palestin.

“Insya-Allah, esok saya akan sertai Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra, Putrajaya sesudah solat Jumaat, esok (hari ini).

“Ayuh, sama-sama kita hadir tunjukkan sokongan dan kesepaduan kita umat Islam menentang usaha jadikan Baitulmuqaddis ibu negara Israel!” tulis Najib dalam akaun Twitter @najibrazak malam tadi.

Setakat ini kira-kira 250 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa parti politik sudah memberi komitmen bagi menjayakan perhimpunan hari ini.

Antara yang dijangka hadir hari ini ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Perhimpunan itu akan dimulakan dengan forum khas sebelum solat Jumaat melibatkan Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar H. Al Agha.

Minggu lalu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad mengatakan Najib seharusnya menggunakan “hubungan baiknya” dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menyelesaikan isu ini.

“Kerana Donald Trump kawan dia, dan saya yakin Najib boleh pengaruhi Donald Trump,” kata Dr Mahathir pada satu sidang media.

Trump menimbulkan kemarahan apabila mengumumkan AS mengiktiraf Baitulmaqdis – ibu kota yang dianggap suci bagi umat Islam, Kristian dan Yahudi – sebagai ibu negara Israel.

Trump turut merancang untuk mula memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Tindakan Trump itu menimbulkan kemarahan masyarakat antarabangsa yang melihat tindakan itu sebagai memburukkan lagi ketegangan di Timur Tengah. – 22 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen