TIADA sebarang undi belah bahagi diusulkan pembangkang hari ini yang membolehkan peruntukan untuk tiga lagi kementerian lulus dengan undian suara di peringkat jawatankuasa.
Peruntukan tersebut meliputi tiga kementerian iaitu pertanian dan industri makanan, luar bandar, serta tenaga dan sumber asli.
Dengan itu, peruntukan lapan kementerian termasuk peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah diluluskan Dewan Rakyat sejak dua hari lalu.
Ia termasuk dana RM4.79 bilion untuk Kementerian Pertanian, RM10.19 bilion untuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan RM2.1 billon untuk Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Belanjawan 2021 dimajukan untuk perbahasan peringkat jawatankuasa apabila gagal ditolak pembangkang sewaktu dibentangkan di peringkat dasar pada 26 November.
Hanya 13 ahli Parlimen menyokong usul untuk mengundi secara belah bahagi, menyebabkan usul tersebut ditolak dan diluluskan di peringkat dasar.
Ahli lain tidak bangun menyokong usul tersebut, atas arahan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyebabkan undi belah bahagi untuk menolak belanjawan tersebut tidak dapat dijalankan.
Anwar kemudian menjelaskan belanjawan tersebut masih boleh ditolak dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa.
Perbahasan peringkat jawatankuasa untuk lima kementerian minggu ini bagaimanapun sudahpun berjaya diluluskan apabila lebih banyak undi menyokong berbanding bantahan pembangkang.
Tiga daripada belanjawan kementerian lulus di peringkat jawatankuasa semalam dengan undian belah bahagi dan dua lagi lulus dengan undian suara setakat semalam. – 2 Disember, 2020.
Komen