Ahli Parlimen PAS gesa isytihar AS, Israel pengganas


Aminah Farid Chan Kok Leong Zaim Ibrahim

Ahli Parlimen Pasir Putih Nik Muhammad Zawawi Salleh hari ini menggesa kerajaan isytihar Amerika Syarikat dan Israel negara pengganas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

MALAYSIA mesti mengisytihar Amerika Syarikat dan Israel negara pengganas, kata Nik Muhammad Zawawi Salleh.

“Negara kuasa besar seperti Amerika seolah-olah menjadi raja dalam dunia. Apa yang dia nak buat, dia buat.

“Dia nak serang Sudan, Libya, ke atas mana-mana negara sekali pun dia boleh buat.

“Jadi sebab itu, pendirian Malaysia mesti tegas. Kita tidak mengatakan Palestin itu pengganas, tapi kita mengatakan Yahudi Israel itulah negara pengganas. Begitu juga Amerika dan negara-negara lain.

“Sebenarnya mereka adalah pengganas. Membuat ancaman, macam-macam ancaman ke atas negara yang tidak sebulu dengan mereka,” kata ahli Parlimen Pasir Putih pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menggesa kerajaan bertegas dan tidak tunduk kepada gesaan antarabangsa berkenaan isu keselamatan pelbagai hala. 

“Terutama sekali isu yang menyentuh Kashmir, Palestin, Rohingya dan lain-lain.

“Ada pihak yang menuduh  Palestin sebagai pengganas. Tanpa mereka menyebut Yahudi yang meroboh, merampas hak milik rakyat Palestin ini sebagai pengganas,” kata Nik Muhammad Zawawi yang juga ketua Dewan Ulama PAS. – 1 Disember, 2020.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen