Terdesak keluar KWSP cerminan situasi buruk ekonomi, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Pertumbuhan gaji di Malaysia lembab, terutama bagi pekerja muda dan berpendapatan rendah, sementara kos sara hidup kekal tinggi, kata pakar ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

KEPERLUAN pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan simpanan yang sepatutnya untuk kegunaan hari tua mereka bai meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana pandemik, mencerminkan keadaan suram ekonomi dan dasar kerajaan, kata pakar ekonomi Yeah Kim Leng.

Walaupun jelas bahawa kesan Covid-19 amat buruk, keperluan untuk mengusik wang persaraan itu adalah kesan daripada gaji rendah, kos sara hidup tinggi dan simpanan yang tidak mencukupi, kata profesor dari the Universiti Sunway itu.

“Sokongan meluas untuk mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP adalah cerminan kepada betapa teruknya kesan ekonomi akibat pandemik, simpanan tidak mencukupi, gaji atau kadar pendapatan rendah dan kos sara hidup yang tinggi.

“Kerajaan akan perlu untuk fokus dalam menangani isu ini dengan lebih bersungguh-sungguh dan kreatif pada era pasca pandemik, terutama dalam Rancangan Malaysia ke-12,” kata Yeah.

Pertumbuhan gaji di Malaysia memang lembab, terutama bagi pekerja muda dan berpendapatan rendah, sementara kos sara hidup kekal tinggi.

Yeah berkata simpanan dan Akaun 1 bertujuan untuk persaraan dan pencarum sepatutnya hanya mengambilnya kalau kecemasan, bukannya sokongan kepenggunaan.

Pengeluaran menerusi skim baharu i-Sinar sepatutnya jadi cara terakhir bagi mengelak termasuk ke dalam kesukaran kewangan yang lebih teruk dan kekal lama.

“Mereka sepatutnya menggunakan pelbagai bantuan tunai, pelepasan dan subsidi upah untuk mengharungi krisis semasa ini, berbanding berdepan krisis ketika usia tua nanti, dan mempunyai kedudukan kewangan lebih kukuh dengan simpanan KWSP mencukupi,” kata Yeah.

Skim i-Sinar diperkenalkan dalam versi asal Belanjawan 2021 menyasarkan kepada pencarum KWSP yang kehilangan pekerjaan, membenarkan mereka mengeluarkan RM500 sebulan kepada maksimum RM6,000 bagi 12 bulan.

Bagaimanapun, pelbagai parti politi mendesak had pengeluaran dinaikkan.

Skim i-Sinar diperkenalkan dalam versi asal Belanjawan 2021 menyasarkan kepada pencarum KWSP yang kehilangan pekerjaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

Skim itu kemudian dipinda dan diperluaskan untuk meliputi lapan juta pencarum bagi memasukkan mereka yang turut mengalami potongan gaji. Mereka boleh mengeluarkan 10% daripada simpanan Akaun 1 bermula Januari.

Jumlah maksimum yang boleh diambil atau didahulukan bagi pengeluaran pertama juga dinaikkan kepada RM10,000, dengan bakinya 10% dikeluarkan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan.

Belanjawan 2021 juga mencadangkan pengurangan caruman wajib pekerja untuk KWSP kepada 9% daripada 11%, bagi membolehkan pekerja mendapat pendapatan yang boleh dibelanjakan lebih tinggi.

“Sekali lagi, jika ada pendapatan semasa mencukupi untuk menampung perbelanjaan hidup, mereka masih sepatutnya menyimpan untuk kecemasan dan persaraan, memandangkan jangka hayat diramalkan meningkat lagi,” kata Yeah.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor berkata pencarum tidak seharusnya mengambil simpanan Akaun 1, kerana pesara memerlukan 80% daripada pendapatan mereka untuk sara hidup bulanan selepas bersara.

Katanya, KWSP sepatutnya turut mengira caruman berdasarkan pendapatan bersih, bukannya gaji asas.

Halim berkata bukan warganegara juga sepatutnya membuat caruman kepada tabung itu. – 1 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen