Ahli Parlimen persoal peruntukan pembangunan negeri Sarawak tidak adil


Zaim Ibrahim Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen juga mempersoalkan anggaran peruntukan untuk pembangunan dibawah JPM yang dilihat untuk memberi lebih kuasa kepada perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

AHLI Parlimen DAP Chong Chieng Jen mempersoalkan peruntukan untuk Sarawak dalam Belanjawan 2021 yang katanya berkurangan berbanding tahun lalu.

Ahli Parlimen Stampin berkata peruntukan untuk Sarawak juga tidak adil kerana projek pembangunan mendapat jumlah yang besar berbanding Sarawak yang kecil.

“Kalau kita teliti Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional, Sarawak masih dianaktirikan macam zaman Barisan Nasional (BN).

“Contohnya, dalam belanjawan Pembangunan Negeri Johor dapat RM14 juta, Pejabat Pembangunan Negeri Kedah dapat RM16 juta,

Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan mendapat RM7 juta, di Terengganu mendapat RM10 juta, dan Sabah mendapat RM9 juta.

“Tetapi Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak hanya mendapat RM655,000 sahaja,” katanya membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Chong, peruntukan untuk program pembasmian kemiskinan di bawah JPM juga dikurangkan.

“Salah satu projek, iaitu Projek Kemiskinan Semenanjung/Sabah/Sarawak di bawah JPM dikurangkan 30% daripada RM9 juta pada 2020 kepada RM6.3 juta pada 2021.

“Adakah kebajikan dan nasib orang miskin tidak penting berbanding dengan kuasa perdana menteri sehingga projek kemiskinan perlu dipotongkan?

“Walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi kingmaker dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), lantik beberapa ahli Parlimen menjadi menteri… tetapi PN tidak tunjuk apa-apa kesyukuran dalam belanjawan untuk Sarawak,” tegasnya.

Pengerusi DAP Sarawak itu juga mempersoalkan anggaran peruntukan untuk pembangunan dibawah JPM yang dilihat untuk memberi lebih kuasa kepada perdana menteri.

“Contohnya di bawah butiran 00125, terdapat projek Public Private Partnership yang memperuntukkan RM813 juta tetapi pada 2020 kita tiada langsung projek itu.

“Dan nilai peruntukan hingga RM1 bilion untuk Projek Khas, apa projek ini? Adakah untuk perdana menteri membeli ahli-ahli Parlimen kekalkan kuasa dia?

“Usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mereformasi dengan mengurangkan kuasa perdana menteri telah diterbalikkan,” jelas beliau.

Belanjawan 2021 menyediakan peruntukan tambahan perbelanjaan mengurus sebanyak RM482 juta untuk JPM, yang mengembalikan jabatan itu ke zaman kemuncak kerajaan Barisan Nasional sebelum ia ditumbangkan pada 2018.

Sesi hari pertama perbahasan dan penggulungan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa dimulakan dengan JPM dan diikuti Kementerian Kewangan.

Sesi ini dijadual berlangsung 10 hari sehingga 15 Disember. – 30 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen