Bubar Parlimen tidak lama lagi hanya helah Muhyiddin, kata penganalisis


Kamles Kumar

Mandat Parlimen ke-14 dijadual berakhir pada 15 Julai 2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

MUHYIDDIN Yassin tidak akan membubarkan Parlimen dalam tempoh enam bulan akan datang, kata penganalisis politik, walaupun perdana menteri berkata beliau akan mengadakan pilihan raya segera selepas pandemik Covid-19 berakhir. 

Mereka berpendapat Muhyiddin akan berusaha untuk terus mengukuhkan kedudukannya, selain belum masanya untuk pilihan raya di tengah pandemik yang mengancam nyawa dan melemahkan ekonomi yang masih perlu ditangani oleh Putrajaya.

Selepas Belanjawan 2021 untuk perbelanjaan RM322.5 bilion diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat minggu lalu, kedudukan Muhyiddin semakin kukuh walaupun beliau mengumumkan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu dua hari kemudian mahu mengadakan pilihan raya segera selepas pandemik reda.

Penganalisis politik James Chin berkata Muhyiddin hanya cuba mengalihkan perhatian apabila menyebut pilihan akan diadakan segera. Profesor Kajian Asia di Universiti Tasmania, Australia itu percaya pilihan raya akan diadakan pada 2022.

“Saya tidak ambil serius apa yang Muhyiddin kata. Biasanya orang tidak beritahu bila dia hendak adakan pilihan raya sebab ia akan beri masa kepada pembangkang untuk bersiap sedia.

“Boleh jadi (pilihan raya) antara tahun depan hingga 2023,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mandat Parlimen ke-14 dijadual berakhir pada 15 Julai 2023.

Menurut Chin, walaupun kerajaan dapat vaksin Covid-19 pada Januari ini, ia mungkin mengambil masa sehingga setahun untuk vaksin itu tersedia untuk seluruh negara.

“Tidak mungkin pilihan raya diadakan sehingga majoriti rakyat sudah divaksin. Ia mungkin akan ambil masa sehingga enam hingga lapan bulan, atau boleh jadi setahun,” tambahnya.

Pensyarah politik dan budaya Dr Awang Azman Awang Pawi juga senada berpendapat kerajaan sepatutnya menumpu usaha melawan wabak sebelum mengadakan pilihan raya.

“Proses vaksinasi ini lama, boleh mengambil masa tiga tahun untuk selesai. Sementara itu, orang akan hilang kerja dan terpulang pada kerajaan untuk memberi bantuan. Kewangan yang ada sepatutnya digunakan untuk ini dan bukannya pilihan raya,” kata pensyarah di Universiti Malaya itu.

Beliau menambah Muhyiddin kini dalam keadaan yang selesa selepas mendapat sokongan Umno pada minggu lalu apabila cadangan belanjawan diluluskan, dan tiada sebab untuk mengadakan pilihan raya segera.

“Beliau sekarang selamat daripada undi tidak percaya. Ironinya, majoriti beliau yang tipis untuk meluluskan belanjawan diselamatkan oleh Pakatan Harapan yang tidak buat apa-apa.

“Lagi lama Muhyiddin berkuasa, lagi kukuh beliau memegang kuasanya,” katanya.

Penganalisis politik berkata Muhyiddin Yassin hanya cuba mengalihkan perhatian apabila menyebut pilihan akan diadakan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

Antara Mac dan Jun

Bagaimanapun Awang Azman berkata sekiranya Muhyiddin masih mahu mengadakan pilihan raya di tengah pandemik, ruang yang ada ialah antara Mac dan Jun tahun depan.

“Pada masa itu, beliau sepatutnya sudah mengumpulkan kekuatan dan menyelesaikan isu jentera pilihan raya,” katanya.

Ahli sains politik Oh Ei Sun pula berkata tempoh itu juga akan memberi masa kepada pihak berkuasa menangani penularan Covid-19 sekarang dan mengelak apa yang berlaku di Sabah pada hujung September lalu berulang.

“Antara Mac dan Jun, kemungkinannya menjelang Jun, kalau tidak mahu masalah (seperti Sabah) berulang. Kita tidak mahu apa yang berlaku berulang,” kata felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar pula berkata tempoh itu akan memberi Muhyiddin masa yang cukup untuk mengatur strategi dan berunding dengan sekutu Perikatan Nasional (PN) termasuk Umno.

“Itu strategi yang terbaik. Mereka perlukan mandat baharu dan pilihan raya adalah satu-satunya jalan penyelesaian. Ini juga memberi masa kepada parti-parti yang bersama PN untuk bersiap sedia.

“Muhyiddin sudah umum pembentukan Majlis Presiden yang akan membincangkan semua perkara termasuk rundingan kerusi,” katanya.

Semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Sabtu, Muhyiddin mengumumkan partinya sedia untuk mengadakan pilihan raya tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pandemik. 

Beliau juga mencadangkan Majlis Presiden untuk mempersiapkan parti melangkah ke pilihan raya.

Hisomuddin menambah Muhyiddin perlu menangani rundingan pengagihan kerusi dengan cermat kerana pertembungan tiga penjuru antara Bersatu, PAS dan Umno akan merugikannya sendiri.

“Kalau Muafakat Nasional dan PN bergabung, PH akan hancur. PH sekarang ada masalah besar kerana tidak ada parti Melayu yang tulen dalam gabungan itu. Amanah tidak mampu,” katanya.

Ahli sains politik Wong Chin Huat pula berkata undian belanjawan memberikan kesan kepada sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH). Sesetengah penyokongnya malah sudah beralih selepas Anwar Ibrahim menjalin hubungan dengan Umno untuk menjatuhkan Muhyiddin.

“Penyokong pembangkang kecewa dengan janji Anwar yang tidak ditepati dan kepimpinan yang cacamerba. Tetapi yang akan menentukan sama ada pembangkang berpecah atau tidak ialah hala tujunya.

“Jika pembangkang boleh jumpa hala tuju, sama ada Anwar atau pemimpin lain, penyokongnya akan kembali.

“Kalau penyokong pembangkang terus berharap ahli Parlimen Umno akan melompat, tunggu masa saja mereka akan menentang pimpinan, bukan Anwar saja,” katanya.

Hisomuddin menambah PH sebenarnya lebih sibuk dengan soal Anwar jadi perdana menteri sehingga mereka tidak bersiap sedia untuk kemungkinan pilihan raya lebih awal.

“PH masih dalam suasana hendak ambil kuasa dengan surat akuan sumpah. Mereka tidak bersedia untuk pilihan raya. Parti mana pun tidak sedia.

“Kalau tak sedia menjelang Mac, mereka akan kalah teruk. Mereka tidak akan kekalkan pun kerusi yang menang sebelum ini,” katanya.

Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar secara undian suara selepas tidak cukup 15 ahli Parlimen yang berdiri menyokong usul untuk undian dibuat secara belah bahagi.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang berkata mereka mendapat arahan daripada Anwar, yang dikeluarkan pada saat akhir, untuk membenarkan cadangan belanjawan kerajaan diluluskan. – 30 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen