Bersatu tanding PRU15 guna lambang Perikatan, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim Kamles Kumar

BERSATU akan tetap menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum akan datang, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Keputusan itu dibuat berdasarkan kajian yang menunjukkan PN semakin diterima oleh rakyat, kata presiden Bersatu itu dalam perhimpunan agung tahunan parti tersebut hari ini.

“Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan penerimaan rakyat Malaysia terhadap PN adalah tinggi.

“Oleh yang demikian, Bersatu telah membuat keputusan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15,” kata Muhyiddin dalam ucapan yang disiar langsung.

Beliau juga  memberi jaminan pilihan raya akan diadakan selepas penularan pandemik Covid-19 di negara ini berakhir.

Jaminan itu sebagai rayuannya agar para ahli Parlimen tidak menolak Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan pimpinannya awal bulan ini.

Katanya beliau sedar terdapat pihak yang mahu Belanjawan 2021 ditolak kerana mahu pilihan raya umum ke-15 diadakan segera, tetapi beliau menjelaskan ia tidak dapat dilakukan.

“Tak perlulah buat begitu (tolak Belanjawan 2021).

“Kalau tanya saya, mungkin semalam lagi saya telah nasihatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya bubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan.

“Tetapi kita semua tahu masalahnya ialah Covid 19. Insya-Allah, jika diizinkan Allah, apabila pandemik COVID-19 berakhir, kita adakanlah pilihan raya umum,” katanya.

Selain itu beliau mengumumkan Bersatu akan membuat pindaan dalam perlembagaan partinya untuk diluluskan hari ini termasuklah untuk menubuhkan sayap ahli bersekutu.

Beliau menambah pindaan perlembagaan parti adalah sebahagian daripada proses untuk menjadikan Bersatu sebagai sebuah parti yang progresif, dinamik dan sentiasa bergerak maju ke hadapan. 

“Beberapa pindaan akan dibuat terhadap perlembagaan parti kita dalam Perhimpunan Agung Tahunan kali ini. Pindaan-pindaan ini adalah penting untuk memastikan parti kita dapat berfungsi dengan lebih baik sesuai dengan realiti semasa. Ini termasuklah pindaan fasal-fasal tertentu dalam perlembagaan parti untuk menubuhkan sayap ahli bersekutu.

“Saya berharap cadangan pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan pada hari ini akan mendapat sokongan padu daripada saudara dan saudari perwakilan,” katanya. – 28 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen