Pakatan jangka selesai rundingan kerusi hujung bulan ini


Melati A. Jalil

Ahli Parlimen Amanah Shah Alam, Khalid Samad berkata hasil perbincangan antara parti yang diadakan semalam turut mengurangkan jumlah pertindihan kerusi.– 21 Disember, 2017.

PAKATAN Harapan sudah menyelesaikan 90% rundingan kerusi parlimen, kata ahli parlimen pembangkang, dan menambah pakatan pembangkang berharap rundingan itu akan selesai akhir bulan ini. 

Khalid Samad daripada Amanah berkata semua parti hadir pada mesyuarat yang diadakan semalam bagi membincangkan perkara itu dan mereka berjaya mengurangkan jumlah pertindihan kerusi.

“Buat masa ini 90% dari keseluruan kerusi parlimen sudah diselesaikan, hanya tinggal 10% lagi. 

Kerusi negeri akan dibincangkan di peringkat negeri. Keputusan bagi kerusi parlimen akan membantu negeri pada rundingan peringkat negeri,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam. 

Tambahnya, pihaknya berharap rundingan kerusi ini akan diselesaikan sebelum konvensyen Pakatan Harapan yang dijadualkan berlangsung pada 7 Januari tahun depan. 

Pada Ogos lalu, pimpinan parti berkata Pakatan Harapan memperuntukkan kerusi negeri kepada parti komponen berdasarkan personaliti, jumlah kerusi yang dipertandingkan serta beberapa faktor lain. 

Majlis presiden Pakatan Harapan juga memutuskan ia tidak akan bekerjasama dengan PAS dan sedia berdepan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-14.

Amanah, Bersatu dan DAP turut bersetuju menamakan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri interim dan timbalan perdana menteri, sekiranya pakatan itu menang pada pilihan raya akan datang. 

Namun, pimpinan PKR masih belum memutuskan sama ada mahu menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim jika Pakatan Harapan menang. – 21 Disember, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kalau semuanya keras kepala & mahu tunjuk hebat dkt sesuatu kawasan tu sampai bila2 pun kata sepakat tak akan tercapai..boleh jalanlah akan sepakat..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan