Mat Sabu tekad pertahan Pakatan Harapan


Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata jalan ke hadapan adalah untuk melupakan perbezaan tetapi sentiasa memperkuatkan kerjasama.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2020.

PRESIDEN Amanah Mohamad Sabu tekad akan mempertahankan kerjasama politik dalam Pakatan Harapan, ketika gabungan itu dilihat berpecah belah susulan langkah saat akhir pengerusinya Anwar Ibrahim mahu pembangkang meluluskan Belanjawan 2021 semasa bacaan kedua, Khamis lalu.

Katanya, dalam setiap kerjasama pasti ada kelebihan dan kelemahan, dan jalan ke hadapan adalah untuk melupakan perbezaan tetapi sentiasaha memperkuatkan kerjasama.

“Yang lebih utama bagi kita adalah kesatuan dan persahabatan. Dalam masa yang sama kita sentiasa mencari jalan memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan.

“Inilah sikap saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad berkata beliau bukan saja akan mempertahankan hubungannya dengan Anwar, malah mempertahankan hubungan dengan bekas pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, yang kini mengambil jalan politik sendiri.

Selepas pertukaran kerajaan akibat percaturan politik pada hujung Februari lalu, Anwar dan Dr Mahathir berselisih pandangan secara terbuka, dengan isu utama berhubung calon perdana menteri PH.

“Apabila ada suara menasihatkan saya untuk meninggalkan Dr Mahathir dan menghentam beliau, saya katakan tidak.

“Kita telah bekerjasama dengan beliau, sama sama sepentas melawan kerajaan Kleptokrat yang sangat berkuasa, mengenali antara satu sama lain, masakan saya hendak memaki hamun beliau,” katanya.

Menurut Mohamad, beliau mengambil sikap untuk mengukuhkan hubungan kerana melihat setiap kelemahan yang ada, boleh diperbaiki.

“Dalam kerjasama ini, setiap orang ada kelebihan dan kelemahan. Tetapi apabila kita sudah bergabung amat sukar untuk berpisah disebabkan lamanya perhubungan sesama kita dan kesamaan titik perjuangan,” katanya.

Mohamad yang juga ahli Parlimen Kota Raja dilaporkan berang dengan tindakan Anwar memberi arahan pada minit terakhir untuk blok pembangkang membiarkan Belanjawan 2021 lulus semasa undian di peringkat dasar di Dewan Rakyat, kelmarin.

Arahan Anwar selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz selesai menggulung perbahasan juga dilaporkan bertentangan dengan keputusan Majlis Presiden PH pada Selasa – hanya dua hari sebelumnya – untuk sepakat menolak Belanjawan 2021 secara undi belah bahagi.

Usul untuk undian belah bahagi bagaimanapun ditolak selepas hanya 13 ahli parlimen yang menyokong dan tidak memenuhi syarat sekurang-kurangnya 15 sokongan.

Mereka yang menyokong ialah empat ahli Parlimen bebas dari Parti Pejuang Tanah Air diketuai Dr Mahathir, enam dari Amanah dan masing-masing seorang dari DAP, PKR, dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Mohamad mengeluarkan kenyataan ini ketika suara akar umbi dalam partinya sendiri, dan juga dalam DAP, mendesak hubungan dan kerjasama dalam PH bersama PKR difikirkan semula.

Sekurang-kurangnya dua pemimpin PKR mempertahan parti dan membidas kenyataan Setiausaha Pemuda DAP yang meminta partinya menimbang untuk berpisah dengan PKR. – 28 November, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen