Akar umbi desak DAP tinggalkan Anwar, kata sumber


Kamles Kumar

Akar umbi DAP sudah lama bersabar dengan tindak-tanduk Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan mahu ia segera ditamatkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2020.

AKAR umbi DAP mendesak parti tidak mempedulikan Anwar Ibrahim lagi selepas kegagalan ketua pembangkang itu menolak Belanjawan 2021, kata sumber.

Beberapa pihak dalam parti memberitahu The Malaysian Insight, walaupun Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke mempertahankan pendirian presiden PKR itu, pihak tertentu berasa sangat yakin mengenai penyingkirannya.

“Ramai yang marah di kalangan akar umbi. Mereka menahan diri ketika Anwar bermain-main dengan Umno tetapi semalam kesabaran sudah berakhir,” kata pemimpin parti itu kepada The Malaysian Insight.

Pada Khamis, Rang Undang-Undang Perbekalan disahkan pada peringkat dasar dengan undi suara, selepas jumlah ahli Parlimen yang berdiri tidak mencukupi untuk meminta belah bahagi bagi membolehkan undian dikira mengikut individu.

Beberapa ahli Parlimen, termasuk Loke berkata mereka mendapat arahan daripada Anwar untuk tidak berdiri semasa permintaan undi belah bahagi.

Mengulas hal ini, Anwar mengakui semalam, ia keputusannya mengarahkan ketua Amanah dan DAP agar tidak menolak Belanjawan 2021 pada Khamis.

Beliau berkata ini untuk membolehkan ahli Parlimen mengkaji pengumuman Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai lebih banyak perkara.

Bagaimanapun, The Malaysian Insight mengetahui yang akar umbi DAP mendesak pemimpin mereka memutuskan hubungan dengan PKR atau sekurang-kurangnya menggesa Anwar meletakkan jawatan sebagai pemimpin pembangkang.

Sumber berkata, ini bukan kali pertama Anwar menimbulkan masalah kepada DAP, dengan pertama kalinya pada Februari apabila beliau memaksa parti menolak kerjasama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Anwar membuat DAP meninggalkan Dr Mahathir pada Februari lalu. Beliau mendesak parti meninggalkan Dr Mahathir, demi untuk menjadi perdana menteri. Rancangan itu gagal.”

Satu lagi kejadian adalah ketika Anwar meminta sidang media semasa kempen pilihan raya Sabah yang mendakwa beliau mempunyai majoriti “kuat dan meyakinkan” untuk mengambil alih Putrajaya.

“Kemudian muncul cakap besar mengenai majoriti yang kuat dan meyakinkan, dua hari sebelum pilihan raya Sabah, ketika kami sibuk berkempen. Tiada apa-apapun.

“Sekarang beliau nampaknya memberikan arahan mengarut ini, yang membuat DAP kelihatan seperti orang bodoh,” kata sumber itu.

Antara kebimbangan pemimpin DAP adalah bagaimana pengundi menerimanya pada pilihan raya akan datang atau pemilihan parti pada akhir tahun.

“Tulisan akar umbi dalam bahasa Cina di media sosial mendesak parti meninggalkan Anwar. Mereka bertegas parti tidak boleh lagi ditipu,” kata sumber lain. – 28 November, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen