Ambil pekerja Pati tidak selesai masalah kekurangan tenaga kerja, kata MEF


Hailey Chung Wee Kye

Pelan rekalibrasi tenaga kerja bermula 16 November hingga 30 Jun, membolehkan majikan dalam bidang pertanian, perladangan, pembinaan dan pembuatan mengambil pekerja Pati secara sah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

PROGRAM rekalibrasi tenaga kerja yang dirangka Putrajaya mungkin tidak akan menyelesaikan masalah kekurangan pekerja, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan membangkitkan sekurang-kurangnya dua kemungkinan masalah: pertama, kesukaran menarik pekerja warga asing tanpa dokumen ke sektor tertentu, dan kedua, keengganan majikan menyertai program itu kerana bimbang dikenakan hukuman.

Pelan rekalibrasi tenaga kerja itu untuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dan majikan di Malaysia.

Ia membolehkan majikan dalam bidang pertanian, perladangan, pembinaan dan pembuatan untuk mengambil pekerja Pati secara sah untuk tempoh antara 16 November hingga 30 Jun tahun depan.

Pelan di bawah Jabatan Imigresen itu dibuat selepas Putrajaya membekukan pengambilan pekerja warga asing susulan pandemik Covid-19, bagi memberi keutamaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Namun, ia mencetuskan rungutan banyak syarikat berkenaan kekurangan tenaga kerja.

Shamsuddin berkata pekerja terbabit mungkin lebih tertarik kepada sektor tertentu dan akan menyebabkan sektor lain berdepan masalah kekurangan pekerja.

“Sektor perladangan pada masa ini menghadapi kekurangan kritikal, kira-kira 62,000 pekerja.

“Pati tidak akan tertarik dengan kerja di sektor perladangan dan mereka mungkin pilih untuk bekerja di sektor lebih menarik seperti pembuatan, pembinaan atau pertanian.

“Mereka juga mungkin memilih pulang ke negara asal, berbanding terus bekerja di Malaysia,” katanya merujuk kepada program rekalibrasi pulang yang turut dijalankan dalam tempoh sama yang membenarkan Pati pulang ke negara mereka secara sukarela.

Berkenaan kemungkinan majikan enggan berdaftar di bawah pelan rekalibrasi tenaga kerja, Shamsuddin berkata syarikat bimbang tentang hukuman dikenakan hukuman kerana menggajikan pekerja tanpa dokumen.

“Majikan diminta mendaftarkan pekerja Pati mereka dan ini mungkin kurang mendapat sambutan kerana majikan akan dikenakan kompaun atas kesalahan mengambil pekerja warga asing tanpa dokumen bekerja.

“Pendekatan lebih baik perlu diwujudkan untuk membolehkan pekerja Pati mendaftar, dan majikan yang berminat mengambil Pati bekerja perlu mendaftar dan buat permohonan sewajarnya,” katanya.

Menurut MEF, jumlah pekerja warga asing tanpa dokumen di Malaysia pada masa ini kira-kira 1.7 juta.

“Sebahagian pekerja warga asing sudah dihantar pulang ke negara asal kerana keadaan ekonomi yang lembab.

“Nisbah pekerja warga asing berdokumen dengan tanpa dokumen ialah antara 2:1.5 hingga 1:2,” katanya. – 25 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen