Waktu Pertanyaan Menteri dipendekkan, tiada soalan tambahan


Chan Kok Leong Zaim Ibrahim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata Parlimen pinda peraturan mesyuarat bagi sesi Waktu Pertanyaan Menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2020.

PARLIMEN meminda peraturan mesyuarat bagi sesi Waktu Pertanyaan Menteri dengan menteri akan diminta membacakan jawatan mereka di Dewan Rakyat dan tidak lagi memberikan jawapan secara bertulis.

Di bawah peraturan baharu yang diusulkan oleh kerajaan, menteri akan menjawab tiga soalan daripada ahli Dewan Rakyat dalam masa 10 minit pada Selasa dan Khamis, dan bukan lagi 30 minit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.

“Ahli (Parlimen) yang mengeluarkan pertanyaan akan dipanggil untuk membaca pertanyaannya dan jawapan diberikan oleh Yang Berhormat Menteri dengan tiada pertanyaan tambahan, mulai esok (Khamis) sehingga Selasa 12 November, 2020,” katanya semasa mengemukan usul pindaan di Dewan Rakyat.

Pada masa ini, Aturan Mesyuarat 24A menyebut tempoh jawapan bagi setiap satu soalan yang dikemukakan kepada menteri ialah 10 minit dan soalan tambahan dibenarkan.

Sesi Waktu Pertanyaan Menteri adalah ruang untuk ahli Parlimen mengemukakan soalan berhubung isu dasar, dan semua soalan itu hanya perlu diberikan melalui notis sehari sebelumnya.

Tidak seperti soalan untuk Waktu Pertanyaan Menteri, ahli Dewan Rakyat perlu mengemukakan soalan lebih awal sebelum persidangan bermula untuk pertanyaan-pertanyaan bagi sesi Soal Jawab Menteri.

Perikatan Nasional memendekkan tempoh pertanyaan ini serta waktu persidangan Dewan Rakyat atas kebimbangan penularan Covid-19, berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan.

Sebelum usul diluluskan, Teo Nie Ching (Kulai-PH) bangun meminta penjelasan berhubung rasional peraturan baharu ini.

“Pada pandangan saya, kita tidak perlu menteri datang sini (Parlimen) baca jawapan untuk kita, kalau soalan tambahan tidak diizinkan, kerana kita sendiri boleh baca dari portal.

“Saya rasa kalau mereka datang sini untuk baca itu hanya a show, dengan izin.

“Kalau nak baca soalan di sini lebih baik sekurang-kurangnya izinkan kita bangkitkan satu soalan tambahan,” kata Teo.

Takiyuddin bagaimanapun tidak berganjak dan berkata perkara itu telah selesai, malah perubahan peraturan itu dibuat atas perkara yang dibangkitkan oleh Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH) semalam.

Semalam, Khoo mencadangkan agar menteri menjawab soalan di dewan dan bukan memberi jawapan bertulis. – 18 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen