Umno perlu tentukan kerjasama PRU15, kata penganalisis, akar umbi


Zaim Ibrahim

Umno perlu tentukan hala tujunya menjelang PRU15, kata penganalisis dan pemimpin parti di akar umbi, selepas PAS kini dilihat cenderung bersama Bersatu dalam PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2020.

UMNO perlu menentukan hala tujunya menjelang pilihan raya akan datang (PRU15), kata penganalisis dan pemimpin parti di akar umbi, selepas mereka melihat PAS kini lebih cenderung untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Umno perlu membuat keputusan itu segera, kata mereka, selepas PN minggu lalu mengumumkan pelan untuk menubuhkan struktur parti di peringkat negeri dan bahagian di seluruh negara.

Umno dan PAS membentuk kerjasama atas nama Muafakat Nasional pada September 2019, semasa jadi pembangkang. Selepas mengambil alih Putrajaya, PAS menyertai Bersatu untuk mendaftarkan PN bersama dua parti dari Sabah. Umno dan Barisan Nasional (BN) bagaimanapun tidak menyertai PN.

Beberapa penganalisis memberitahu The Malaysian Insight, Umno mampu kekal menganggotai kerajaan jika menyokong PN dalam PRU15 nanti.

Bagaimanapun, ia tidak lagi boleh menguasai kerajaan itu seperti sebelum BN kalah pilihan raya pada Mei 2018, kata mereka.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, struktur gabungan di negeri membuktikan PN mempunyai hala tuju sendiri tanpa mengambil kira peranan Umno.

“Buat masa sekarang, Umno boleh terus bekerjasama dengan PN tetapi perlu lebih berhati-hati agar tidak terperangkap.

“Atau lebih penting untuk Umno, apabila PRU nanti bertanding semua kerusi tanpa perlu berunding dengan Bersatu. 

“Jika berunding, rasanya Umno akan semakin kecil dan terpencil,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai pengarah pilihan raya menunjukkan tekad kuat PN untuk terus mendominasi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2020.

Bagaimanapun beliau mengingatkan Umno supaya mendengar dan meneliti suara akar umbi  kerana masih ramai ahlinya yang tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan Bersatu.

Awal Oktober lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan juga menggesa Presiden Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan hala tuju kerjasama parti menuju PRU15.

Selain setuju menubuhkan struktur parti di negeri, Majlis Tertinggi PN minggu juga melantik ketua pemudanya Khairil Nizam Khiruddin untuk merancakkan lagi aktiviti PN di peringkat akar umbi untuk “merapatkan silaturahim antara ahli parti”.

Khairil Nizam adalah juga ketua Pemuda PAS.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin berkata penubuhan badan perhubungan negeri PN untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai parti politik yang menerajui kerajaan.

PN serius

Sementara itu, ketua penyelidik badan pemikir Ilham Centre Mohd Yusri Ibrahim melihat pembentukan struktur PN di peringkat pusat dan negeri menunjukkan keseriusannya untuk kekal relevan dalam senario politik semasa.

“Mereka dalam proses untuk menjadikan PN sebagai gabungan politik yang berfungsi dengan berkesan untuk hadapi PRU15, sekaligus kekal memerintah selepas itu.

“Pelantikan Azmin Ali sebagai pengarah pilihan raya menunjukkan tekad kuat PN untuk terus mendominasi. Beliau seorang pemimpin politik yang penuh strategi dan licik dalam percaturan,” katanya.

Jelas Yusri, jika BN terus kekal bekerjasama dengan PN untuk PRU15, apa yang berlaku semasa pilihan raya negeri Sabah akan berulang.

“PN akan mengetuai kempen dan akan memimpin kerajaan jika menang,” katanya.

“Walaupun bekerjasama, PN akan mempunyai pengaruh yang besar dalam aspek pembahagian kerusi, lantikan perdana menteri selepas menang, lantikan menteri-menteri besar dan sebagainya.

“Sekarang pilihan ada pada tangan BN – sama ada kekal bekerjasama dengan PN atau memilih laluan lain,” tambah Yusri.

Beliau berpendapat, Umno boleh memilih strategi untuk bersendiri jika mahu mengetuai kerajaan seperti sebelum PRU14, tetapi ia lebih berisiko.

“Strategi ini agak berisiko kerana potensi untuk menang agak berkurang, khususnya selepas Pas turut bersama PN,” katanya.

Yusri tidak menolak kemungkinan Umno akan bersendirian dalam PRU15, berdasarkan suara desakan akar umbinya sendiri. 

Penganalisis tidak menolak kemungkinan Umno akan bersendirian dalam PRU15, berdasarkan suara desakan akar umbinya sendiri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2020.

PAS pula katanya akan memilih PN berbanding gabungan Muafakat Nasional yang belum didaftar secara rasmi.

“Berdasarkan perkembangan semasa iaitu kenyataan-kenyataan oleh pemimpin Pas dan riak-riak ketegangan antara Pas dan Umno, saya jangka Pas akan lebih cenderung kepada PN selepas ini.

“Buat masa ini MN akan terus berfungsi, tetapi akan semakin melemah apabila Pas sibuk dengan PN dan Umno fokus dengan BN,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Azman berpendapat Umno perlu bersedia untuk berhadapan tiga penjuru dalam PRU kelak.

“Umno kena tegas dan berani bertindak untuk parti sendiri. Penyokong dah muak dengan pemimpin mesyuarat dua tiga kali tetapi tiada keputusan konkrit dan (seolah-olah) nafikan politik semasa.

“Saya kira pilihan raya akan datang, pertandingan tiga penjuru (BN-PN-PH) tidak dapat dielakkan, Umno perlu bergerak ke arah tersebut. 

“Tentang agihan, kerusi tak perlu berunding dengan Bersatu,” jelasnya.

Hubungan antara PAS dan Umno baru-baru ini kelihatan keruh apabila seorang Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan ‘sokongan bersyarat’ BN terhadap Belanjawan 2021 ibarat “syarat Puteri Gunung Ledang”.

Ucapan timbalan ketua Pemuda PAS itu dikritik oleh akar umbi Umno, berdasarkan sentimen yang diluahkan melalui pelbagai saluran dan media sosial.

Muafakat masih kukuh

Sementara itu, pemimpin Umno di akar umbi mempertahankan hubungan dengan PAS masih lagi kuat dalam Muafakat Nasional (MN) namun bimbang dengan parti Islam itu yang semakin mesra dengan PN.

“Kita masih jalankan program bersama dengan MN. PAS tidak nampak sangat ada program bersama PN. Di Klang juga belum ada,” kata Naib Ketua Pemuda Umno Klang Iszuwan Ismail.

“Cumanya di peringkat pusat kita nampak jelas dan nyata apa yang berlaku sekarang iaitu, PAS cenderung bersama Bersatu.”

Beliau yang juga setiausaha agung Kelab Jaringan Naib-Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia (Kagum) menjelaskan ahli Umno di akar umbi bimbang pertandingan tiga penjuru pada PRU15 akan memecahkan undi pengundi Melayu.

“Kalau tiga penjuru kita dah tahu jawapannya, akan beri kelebihan kepada Pakatan Harapan, sebab kita lawan sesama sendiri,” katanya.

Pemimpin akar umbi Umno mempertahankan hubungan dengan PAS masih lagi kuat dalam Muafakat Nasional, namun bimbang dengan parti Islam itu yang semakin mesra dengan PN.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2020.

 Atas dasar itu, Iszuwan menuntut pimpinan tertinggi Umno untuk membuat pertimbangan sebaiknya kerjasama dengan Bersatu.

 “Pimpinan Umno kena bagi gambaran dan hala tuju yang lebih jelas. Hala tuju itu perlu diputuskan sekarang dan dikongsi kepada ahli-ahli akar umbi supaya kita mempunyai gerak kerja yang baik untuk pilihan raya nanti,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh Anuar Faisal pula mengakui ahli-ahli Umno tertanya-tanya status kerjasama Umno dengan PAS dan Bersatu.

“Kita yakin Pas masih berpegang kepada piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani pada 2019.

“Pada ketika ini, kita mahu bersangka baik tehadap PAS walaupun dia sudah isytihar secara terbuka pembentukan badan perhubungan negeri.

“Masih ada program antara Umno-Pas yang kita tak umumkan,” jelasnya.

Anuar juga berharap Umno tidak terlalu kalut dengan isu kerjasama PAS dan Bersatu, sebaliknya fokus menyediaka tawaran yang lebih baik untuk memenangi hati rakyat pada PRU15.

“Kita harap pimpinan buat satu konsensus yang terbaik untuk rakyat. Hendak menangkan hati rakyat, kena bagi rakyat senang dan puas hati dengan kita,” katanya. – 17 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen