Azmin ketua pengarah pilihan raya Perikatan, umum setiausaha parti


Majlis Tertinggi PN bersetuju melantik Mohamed Azmin Ali sebagai Pengarah Pilihan Raya parti bagi mengetuai persediaan jentera pilihan raya parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November 2020.

MOHAMED Azmin Ali dilantik sebagai pengarah pilihan raya Perikatan Nasional, umum setiausaha agung parti Hamzah Zainuddin.

Pelantikan Azmin yang juga ketua penerangan Perikatan dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan semalam, yang dipengerusikan oleh pengerusi parti Muhyiddin Yassin selama dua jam secara dalam talian.

“Majlis Tertinggi bersetuju sebulat suara melantik YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional bagi mengetuai persediaan jentera pilihan raya parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah juga mengumumkan penubuhan badan perhubungan negeri Perikatan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai parti politik yang menerajui kerajaan. 

Badan itu akan bertanggungjawab menyelaraskan aktiviti parti di peringkat negeri, jelasnya, dan penubuhannya dipersetujui sebulat suara oleh mesyuarat.

“Pengerusi Perikatan Nasional akan melantik Pengerusi Badan Perhubungan Negeri yang akan memanggil dan mempengerusikan semua mesyuarat Badan Perhubungan Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Perikatan Khairil Nizam Khiruddin, yang juga Ketua Pemuda PAS, diberi mandat merancakkan lagi aktiviti Perikatan di peringkat akar umbi untuk “merapatkan silaturahim antara ahli-ahli parti”.

“Majlis Tertinggi percaya keputusan-keputusan ini bakal memantapkan lagi gerak kerja Perikatan Nasional di semua peringkat dan menambah baik koordinasi dalam kalangan parti-parti komponen Perikatan Nasional,” kata Hamzah.

Pelantikan Azmin Ali dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan semalam, yang dipengerusikan oleh pengerusi parti Muhyiddin Yassin selama dua jam secara dalam talian. – Gambar Facebook, 10 November 2020.

Perikatan diluluskan pendaftarannya sebagai sebuah parti politik pada awal Ogos, enam bulan selepas ia dibentuk untuk menggantikan kerajaan Pakatan Harapan susulan percaturan politik pada hujung Februari.

Ia dibentuk bersama oleh Bersatu, PAS, dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star), sebelum disertai oleh sebuah lagi parti dari Sabah, Parti Progresif Sabah (SAPP).

Perikatan muncul pertama kali sebagai parti politik dalam pilihan raya negeri Sabah pada September, yang dimenanginya bersama Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah atas nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

MIC yang pada awalnya menjadi penaja pendaftaran Perikatan kemudian menarik diri pada hujung Ogos dengan alasan Barisan Nasional dan sekutunya yang lain tidak menyertai parti itu.

Mesyuarat semalam disertai empat timbalan pengerusi Perikatan yang mewakili parti-parti gabungan iaitu Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), Ahmad Faizal Azumu (Timbalan Presiden Bersatu), Jeffrey Kitingan (Presiden Star), dan Yong Teck Lee (Presiden SAPP).

Mesyuarat juga disertai pimpinan kanan Perikatan, yang pertama kali diumumkan jawatan mereka, iaitu bendahari agung Dr Ahmad Samsuri Moktar, ketua wanita Rina Harun serta ahli-ahli majlis tertinggi Takiyuddin Hassan (PAS), Ronald Kiandee (Bersatu), dan Guan Dee Koh Hoi (Star).

Dalam satu kenyataan berasingan awal hari ini, presiden empat parti dalam Perikatan mengumumkan sokongan penuh kepada Belanjawan 2021 yang dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu. – 10 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen