Kenyataan Zafrul mengugut, kata Anwar


Kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam bahawa penjawat awam tak dapat gaji jika belanjawan tak lulus adalah ugutan, kata Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2020.

ANWAR Ibrahim sekali lagi menegaskan pembangkang akan sokong Belanjawan 2021 kalau ia benar-benar untuk melawan Covid-19, selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul memberi amaran penjawat awam dan petugas barisan hadapan tidak akan dibayar gaji sekiranya belanjawan tidak diluluskan.

Kata Anwar, kenyataan Tengku Zafrul itu hambar dan berbaur ugutan, sedangkan kerajaan boleh mengemukakan pindaan terhadap belanjawan itu selepas banyak pihak mengkritik cadangan yang dibentang di Dewan Rakyat.

“Saya fikir ini satu kenyataan yang bersifat hambar dan berbaur ugutan serta sebahagian dari rencana untuk mengenepikan suara majoriti ahli Parlimen.

“Saya yakin bahawa kita mampu mengemukakan belanjawan atau pindaan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Anwar, seperti yang beliau tegaskan semasa membahas Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, pihaknya tetap mempertahankan emolumen penjawat awam, perbelanjaan untuk petugas barisan hadapan serta kelengkapan perubatan dan kesihatan.

“Saya ulangi gesaan untuk kerajaan teliti semula Belanjawan 2021. Pembangkang hanya mendukung sekiranya ia benar-benar belanjawan untuk memerangi Covid-19,” katanya.

Dalam perbahasannya minggu lalu, Anwar berkata belanjawan dalam bentuk yang dicadangkan oleh Tengku Zafrul tidak akan disokong kerana beberapa isu yang tidak jelas tentang unjuran pendapatan, peruntukan untuk Covid-19 dan amalan perakaunan yang tidak jujur.

Dalam ucapannya selama 90 minit, Anwar berkata Belanjawan 2021 hanyalah “satu belanjawan biasa pada waktu yang luar biasa”.

“Malah, saya boleh katakan ini satu belanjawan yang mengelirukan,” katanya.

Beliau antara lain mempersoalkan peruntukan lebih RM90 juta untuk badan politik seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dihidupkan semula serta Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang sepatutnya boleh disalurkan untuk petugas barisan hadapan Covid-19.

Tengku Zafrul membentangkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM322.5 bilion pada 6 November lalu.

Perbahasan Belanjawan 2021 bersambung di Dewan Rakyat esok. – 15 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen