Peraturan pasar basah halang pelarian cari duit halal


Hailey Chung Wee Kye

Sebelum pandemik Covid-19 berlaku, ratusan pekerja asing bekerja di pasar basah seluruh Lembah Klang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2020.

PELAKSANAAN perintah kawalan pergerakan pada Mac lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 menyebabkan ratusan pelarian yang bekerja di pasar basah sekitar Lembah Klang hilang sumber pendapatan. 

Kebanyakan pelarian ini adalah pemegang kad UNHCR yang tidak diiktiraf kerajaan Malaysia.

Seorang pemimpin komuniti Myanmar di Selayang, Kuala Lumpur- salah satu kawasan tumpuan tempat tinggal pelarian- Abdul Razak, 53, berkata hampir semua pasar basah di kawasan itu sebelum ini mengupah sekurang-kurangnya 200 pekerja pelarian.

“Bayangkan jumlah pelarian yang hilang kerja kerana kebanyakan mereka bekerja di pasar basah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Seorang lagi pelarian dari Myanmar, Kassim Hussain, 52, adalah salah seorang yang hilang kerja sejak Mac lalu.

“Peraturan kata jika nak bekerja di pasar basah, awak mesti ada kad pengenalan Malaysia atau pasport, kerana pemegang kad UNHCR tak diiktiraf,” katanya.

Isteri Kassim kini menjadi penyara tunggal keluarga bekerja sebagai pencuci pinggan di restoran berhampiran dengan upah RM5 sejam selama tiga jam sehari.

Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan, berusia 12 dan 15 tahun. Kedua-duanya berhenti belajar di sekolah pelarian kerana ibu bapa mereka tidak lagi mampu menanggung kos pengajian sebanyak RM300 sebulan.

Pendatang asing dilarang daripada bekerja di pasar sejak bermulanya PKP untuk mengekang Covid-19, selepas wujud kes peniaga pasar diuji positif.

Malah beberapa pasar seperti Pasar Borong Selayang dan Pasar Basah PJ Old Town ditutup kerana kejadian itu.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kemudiannya mula menguatkuasa akta sedia ada, Undang-Undang Kecil Penjaja 2007 yang mengharamkan pekerja asing bekerja di pasar, DBKL kemudiannya mengambil tindakan serupa.

Sejak bermulanya PKP Mac lalu, majlis kerajaan tempatan mula menguatkuasa undang-undang yang mengharamkan pengambilan pekerja asing di pasar basah dan peniaga bergelut mencari pekerja tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2020.

Seorang lagi pelarian Shahkandar Aban Nadin juga dari Myanmar turut tidak dapat bekerja sejak Mac dan menggunakan simpanannya untuk menyara kehidupan keluarganya.

“Saya dulu kutip barang kitar semula untuk dijual tetapi disebabkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), saya tak dibenarkan bergerak bebas dan ini menyebabkan saya tak boleh cari duit,” katanya yang berusia 38 tahun itu.

Sebelum musim wabak, beliau boleh mendapat antara RM40 hingga RM80 sehari untuk menyara kehidupan empat ahli keluarganya dengan menjual barang kitar semula.

Semua pelarian kini terpaksa bergantung kepada sumbangan daripada kumpulan masyarakat sivil.

Apa yang mereka mahu sebenarnya adalah pekerjaan bukannya sumbangan untuk terus menjalani kehidupan yang jujur.

“Saya mahu kerja bukannya derma kerana dengan pekerjaan saya ada kepastian menyara keluarga. Tetapi dengan derma, saya tak pasti bila atau jika mereka (NGO) akan datang,” kata Hussain Ali, 43, dari Myanmar.

NGO yang bekerja membantu pelarian juga menyedari wujud keterbatasan dalam bantuan yang mereka salurkan.

Women For Refugees (WFR) berpangkalan di Selayang masih lagi berharap dengan kuasa pendidikan akan dapat mengubah kehidupan pelarian wanita. 

Pengasas WFR Arissa Jemaima berkata mereka mengubah strategi dengan melaksanakan sesi pembelajaran kelas Bahasa Inggeris dan Malaysia dalam talian kepada pelarian.

Mereka juga membantu menyalurkan bantuan makanan kepada Rohingya, pendatang Indonesia dan kumpulan miskin bandar Malaysia.

Kakak Services, salah satu lagi badan bukan kerajaan di Lembah Klang, mengutip derma untuk bantuan kepada hampir 1,400 pelarian sekitar ibu kota, Pelabuhan Klang dan Selayang.

Mereka juga menyediakan platform digital untuk membuka peluang pekerjaan dalam sektor domestik kepada pelarian.

Setakat hujung Ogos lalu, terdapat 178,140 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia dengan 68% adalah lelaki dan 32% wanita.

Mereka yang berhasrat menyumbang tenaga atau kewangan boleh berhubung dengan WFR di [email protected] (012-4595318) atau laman instagram Kakak Services. – 15 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen