Aktivis pelajar persoal larangan rakam polis ketika bertugas


Alfian Z.M. Tahir

Bekas presiden Umany, Wong Yan Ke (kiri) hadir di Mahkamah Majistet Petaling Jaya, pagi ini susulan dakwaan ingkar arahan pegawai polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 November, 2020.

BEKAS pemimpin pelajar Wong Yan Ke yang didakwa hari ini kerana ingkar arahan menghentikan perbuatan merakam serbuan polis, mempersoalkan mengapa pihak berkuasa begitu takut jika mereka tiada apa yang hendak disembunyikan.

Bercakap kepada pemberita selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini atas pertuduhan tidak mematuhi arahan penjawat awam, bekas presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany), menegaskan beliau tidak menghalang sesiapa ketika membuat rakaman itu.

Menurut kertas pertuduhan, Wong tidak mematuhi arahan seorang pegawai polis yang memintanya menghentikan rakaman, yang disiarkan secara langsung di Facebook.

“Ketika saya merakam serbuan itu, saya tidak menghalang pegawai itu. Baik secara lisan atau fizikal.

“Sebelum kes mahkamah, polis kata saya menghalang, di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, tetapi hari ini mereka menuduh saya tidak patuh arahan dan dikenakan dakwaan di bawah Seksyen 188.

“Ini membuktikan kepada anda apa yang dikatakan polis pada Sabtu bahawa saya menghalang mereka, tidak berasas.

“Mengapa polis takut sangat dirakam jika mereka tidak melakukan kesalahan? Kita mesti mempertahankan hak kita dan merakam polis bukanlah suatu jenayah. Mereka yang korup sahaja yang sepatutnya takut dirakam,” katanya.

Beliau kini mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil terhadap polis berhubung penangkapannya pada Sabtu lalu.

Wong ditahan semalaman dalam tahanan polis kerana didakwa menghalang sekumpulan pegawai polis dengan merakam mereka melakukan serbuan di rumah Presiden Umany, Yap Wen Qing.

Wong boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau hari ini ditemani oleh peguamnya, Rajsurian Pillai dan Kuhan Manokaran.

Majistret Nurshahira Abdul Salim menetapkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan seterusnya pada 21 Februari. – 13 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen