Aktivis pelajar minta dibicara kes rakam serbuan polis


Alfian Z.M. Tahir

Bekas presiden Umany, Wong Kan Ye hadir di Mahkamah Majistet Petaling Jaya, pagi ini berhubung tidak mematuhi arahan pegawai polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 November, 2020.

BEKAS pemimpin pelajar Wong Yan Ke mengaku tidak bersalah tuduhan ingkar arahan penjawat awam berkaitan tindakannya merakam satu operasi serbuan polis.

Beliau meminta dibicarakan ketika tuduhan dibacakan ke atasnya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Wong ditangkap Sabtu lalu sewaktu merakam tindakan sekumpulan pegawai polis yang melakukan serbuan di rumah Presiden Umany, Yap Wen Qing.

Wong yang diwakili peguam Rajsurian Pillai dan Kuhan Manokaran didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara enam bulan maksimum atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Menurut kertas pertuduhan, Wong tidak mematuhi arahan polis yang meminta beliau menghentikan rakaman yang dimuat naik secara langsung di Facebook.

“Pada 7 November sekitar jam 3.30 petang, di rumah bernombor 1345 di Jalan 17/48, Petaling Jaya di Selangor, anda telah ingkar arahan ASP Lee Robert, seorang penjawat awam yang meminta anda berhenti merakam serbuan yang anda muat naik di Facebook .

“Oleh itu, anda telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan,” menurut kertas pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Atifah Hazimah Wahab meletakkan ikat jamin sebanyak RM7,000.

Bagaimanapun, pihak peguam bela berhujah yang graduan UM itu tiada risiko melarikan diri dan memberi kerjasama terhadap siasatan.

Hakim Nurshahira kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Kes ini akan disebut semula pada 21 Februari.

Umany dan Yap juga sedang disiasat atas kesalahan hasutan berhubung kenyataan yang disiarkan pertubuhan itu di media sosial.

Kenyataan itu mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, yang mendorong Universiti Malaya membuat laporan polis.

Semalam Umany memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong dan menarik semula kenyataan yang diterbitkan pada 30 Oktober di saluran media sosialnya. – 13 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen