Kumpulan pelajar mohon maaf kepada Agong, tarik balik kenyataan


Ravin Palanisamy

Umany menzahirkan permohonan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung kenyataan yang disiarkan pada 30 Oktober lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

KUMPULAN aktivis pelajar hari ini memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memuat naik kenyataan yang mempersoalkan kuasa diraja.

Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (Umany) turut menarik balik kenyataan yang disiarkan pada 30 Oktober di media sosial.

“Selepas merujuk kepada nasihat daripada ahli-ahli pakar perlembagaan, pihak Umany telah membuat keputusan untuk menarik balik kenyataan bertajuk “YDPA Should Not Interfere in National Affairs” yang dipaparkan di halaman Facebook Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris Umany pada 30 Oktober, 2020.

“Pihak Umany ingin menegaskan bahawa kami mematuhi sistem raja berperlembagaan di Malaysia serta menghormati peranan Agong dalam perlembagaan.

“Selain menzahirkan maaf kepada masyarakat, pihak Umany ingin secara khususnya mengemukakan permohonan maaf dan memohon ampun Tuanku atas kekurangan pemahaman kami terhadap perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis menyiasat Umany di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia selepas Universiti Malaya membuat laporan polis berhubung kenyataan itu.

Polis turut menjalankan serbuan di rumah presdien Umany Yap Wen Qing sebagai sebahagian daripada siasatan.

Mereka turut menahan bekas presiden Umany Wong Yan Ke kerana merakam dan menyiarkan secara langsung serbuan yang dijalankan pihak polis.

Kumpulan pelajat terbabit mengeluarkan kenyataan itu selepas Agong menolak cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat dan menasihatkan ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lepas.

Awal minggu lalu Yap memberitahu The Malaysian Insight bahawa kenyataan itu dibuat untuk perbincangan akademik, dan mereka tidak mengkritik institusi diraja tetapi menyatakan fakta yang diperoleh daripada peguam dan pakar perlembagaan.

“Kami mahu menyampaikan pandangan akademik kami, tidak lebih daripada itu. Kami tahu apa kesannya jika mengulas tentang titah diraja, jadi ia semata-semata perbincangan akademik.

“Saya tidak faham kenapa ramai sangat yang cuba takut-takutkan kami selepas kenyataan tersebut. Itu cuma pandangan akademik,” kata pelajar jurusan Fizik di Universiti Malaya itu. – 12 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen