Sekadar pandangan, bukan menghasut, kata badan siswa UM


Alfian Z.M. Tahir

Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (Umany) berkata mereka tidak bermaksud untuk menghina institusi diraja tetapi hanya menyatakan fakta dari peguam dan pakar Perlembagaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2020.

KENYATAAN Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (Umany) berkenaan peranan Yang di-Pertuan Agong, yang didakwa menghasut, hanya bertujuan untuk perbincangan akademik, kata presidennya Yap Wen Qing.

Yap memberitahu The Malaysian Insight, badan pelajar itu tidak bermaksud untuk menghina Institusi Raja-Raja Melayu tetapi hanya menyatakan fakta dari peguam dan pakar-pakar Perlembagaan.

“Kami mahu menyampaikan pandangan akademik kami, tidak lebih daripada itu. Kami tahu apa kesannya jika mengulas tentang titah diraja, jadi ia semata-semata perbincangan akademik.

“Saya tidak faham kenapa ramai sangat yang cuba takut-takutkan kami selepas kenyataan tersebut. Itu cuma pandangan akademik,” kata pelajar jurusan Fizik di Universiti Malaya itu.

Yap, 22, dipanggil polis untuk dirakam keterangan dan disiasat dibawah  Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Pelajar itu dipanggil selepas memuat naik hantaran di Facebook yang menyentuh Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong harus bertindak sesuai dengan nasihat kabinet kecuali dalam tiga hal: pelantikan perdana menteri, dalam menolak permintaan membubarkan Parlimen, dan dalam mengadakan pertemuan antara Raja-raja Melayu.

Kenyataan tersebut dibuat selepas Agong menolak cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat, dan menasihati semua ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu.

Sabtu lalu, lima pegawai polis, tiga daripada mereka berpakaian biasa, melakukan serbuan di rumah Yap di Petaling Jaya, Selangor.

Yap memberitahu The Malaysian Insight beliau tidak membenarkan polis masuk sehingga peguamnya sampai kerana mereka datang menaiki kereta yang tidak bertanda (bukan kenderaan polis).

“Salah seorang daripada mereka menunjukkan kad kuasa, tapi saya tetap minta mereka tunggu sehingga peguam saya sampai.

“Mulanya mereka ugut untuk serbu masuk, tetapi akhirnya mereka tunggu juga peguam saya tiba. Mereka ambil komputer riba dan telefon bimbit saya,” katanya.

Menurut Yap, enam ahli jawatankuasa Umany juga dipanggil untuk disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

“Sepatutnya tak perlu panggil. Polis ada kenyataan saya sebagai presiden (Umany). Penahanan Wong (bekas presiden Wong Yan Ke) Sabtu lalu juga tidak wajar. Polis keterlaluan.”

Yap Wen Qing (berbaju merah) bersama peguam dan ahli-ahli Umany di IPD Kajang pada Jumaat lalu.– Gambar Facebook Umany, 11 November, 2020.

Wong ditahan kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam dengan merakam operasi serbuan di rumah Yap. Operasi dijalankan sebaik sahaja peguam Yap sampai.

Menurut Wong beliau tidak mengganggu tugas polis dan rakaman tersebut bertujuan untuk memastikan anggota polis tidak menyalahgunakan kuasa.

“Untuk memastikan keselamatan junior saya, saya mulakan rakaman FB Live sebab kami tak dapat nak kenal pasti pegawai. Kerana ahli-ahli Umany pernah ditakut-takutkan.

“Kami terima banyak panggilan gangguan dan oleh kerana ada ramai pegawai polis palsu, kami bimbang kalau-kalau mereka sebenarnya penjenayah yang menyamar jadi pegawai polis.

“Kami juga rakam untuk tujuan keterangan di mahkamah jika perlu. Tidak kiralah jika mereka ini pegawai polis sebenar, kalau mereka salah guna kuasa, melanggar SOP  (prosedur operasi standard)  atau melanggar hak asasi dan kebebasan Yap, maka rakaman video mungkin boleh dijadikan bukti kukuh,” katanya.

Wong sempat merakam tidak sampai tiga minit sebelum beliau digari, dan kemudian dibawa ke balai polis Damansara untuk disoal siasat.

“Saya difahamkan bahawa saya ditahankan atas arahan pegawai polis berpangkat tinggi. Keesokan paginnya, pada jam 11.30 pagi saya disoal siasat lagi sebelum dibebaskan pada 12.30 tengah hari.

“Saya menafikan semua dakwaan polis terhadap saya.

“Saya tidak pernah menghalang tugas polis. Baik secara fizikal atau lisan, saya tidak halang tugas mereka. Saya cuma membuat rakaman langsung,” jelas Wong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed semalam berkata Wong melanggar Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas awam.

Setiap siasatan adalah rahsia dan tidak boleh didedahkan kepada orang ramai terutamanya di media sosial, katanya.

“Tindakan merakam gambar atau video bukan satu kesalahan jenayah.

“Bagaimanapun, sekiranya gambar atau video itu dikongsi, disebar dan ditularkan di media sosial atau dalam apa sahaja cara, ia boleh mengganggu siasatan polis.

“Ia juga bertentangan dengan peruntukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memulakan penghantaran dengan niat mengganggu orang lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim pada 26 Oktober lalu berkata Yang di-Pertuan Agong melanggar Perkara 40 dan 40 (1) Perlembagaan Persekutuan kerana menolak permintaan perdana menteri untuk mengisytiharkan darurat. – 11 November, 2020. 

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen