Tak patut benar rakyat keluar duit KWSP, kata pakar ekonomi


Aminah Farid

Pakar ekonomi tidak setuju dengan pengeluaran Akaun 1 KWSP kerana kerajaan sepatutnya memberikan bantuan kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2020.

PUTRAJAYA sepatutnya memberikan bantuan kewangan kepada rakyat dan bukannya meminta mereka mengeluarkan simpanan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata seorang ahli ekonomi.

Pengarah Urusan DM Analytics, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata ia sangat membimbangkan dan tidak bertanggungjawab apabila kerajaan meminta rakyat menggunakan simpanan sendiri dalam KWSP dalam keadaan dialami sekarang.

“Simpanan itu adalah untuk hari tua. Daripada memberikan bantuan tunai, kerajaan meminta rakyat menggunakan simpanan mereka sendiri.

“Kira-kira dua daripada 10 pencarum memiliki KWSP kurang RM6,000, dan 50% mempunyai simpanan purata hanya RM12,000,” kata Muhammed kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata wang dalam KWSP biasanya digunakan untuk persaraan, dan jika orang mulai mengeluarkannya sekarang, mereka tidak akan mempunyai simpanan selepas bersara.

“Apa yang membimbangkan ialah hampir separuh pekerja Malaysia tidak mempunyai KWSP, apa yang akan terjadi kepada mereka?”

Semasa pengumuman Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu, Putrajaya berkata akan membenarkan pengeluaran bulanan sebanyak RM500 daripada Akaun 1 KWSP untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan kerana wabak Covid-19.

Semasa ucapan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata pengeluaran sebanyak RM6,000 bagi tempoh 12 bulan bertujuan mengurangkan kesulitan kewangan dihadapi oleh 600,000 ahlinya.

Menteri berkata dianggarkan pembayaran keseluruhan pengeluaran Akaun 1 akan melibatkan RM4 bilion dan ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021 dan seterusnya.

Bagaimanapun, pemimpin Umno dan pembangkang Anwar Ibrahim mendesak kerajaan mempertimbangkan semula kenaikan had pengeluaran KWSP kepada RM10,000.

Mereka berkata peningkatan had pengeluaran akan meringankan beban keluarga yang menghadapi masalah kewangan dan membantu membayar balik pembayaran tertunggak.

Mereka juga meminta kerajaan mempertimbangkan kembali untuk melanjutkan moratorium pinjaman yang berakhir pada September.

Akaun 1 terdiri daripada 70% sumbangan pekerja dan dikhususkan untuk persaraan mereka.

Namun, berdasarkan tinjauan Unicef ​​baru-baru ini, “Families On The Edge 2”, Muhammed yang mengetuai penyelidikan itu mendedahkan kira-kira 45% daripada keluarga berpendapatan rendah pada masa ini tidak mempunyai akaun dengan KWSP atau Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias ​​berikrar tidak membuat keputusan terburu-buru mengenai pengeluaran Akaun 1 dan masih membincangkannya dengan Kementerian Kewangan.

Tunku Alizakri berkata KWSP tidak akan menggadaikan masa depan ahlinya dengan membuat keputusan melulu atau terpengaruh dengan isu ini.

Katanya, walaupun berdepan pelbagai tekanan, termasuk ahli politik yang menyokong pengeluaran RM10,000 daripada Akaun 1, pasukannya tidak akan melepaskan tanggungjawabnya untuk membuat keputusan terbaik untuk masa depan ahlinya.

Beliau sebelum ini berkata data KWSP menunjukkan 43%, atau 5.38 juta pencarum di bawah usia 55 tahun, hanya mempunyai simpanan di bawah RM10,000 dalam Akaun 1 mereka.

Di samping itu, 54%, atau 137,000 daripada 245,000 pencarum berusia 54 tahun, mempunyai kurang RM50,000 dalam Akaun 1, dan terpaksa bertahan dengan hanya RM200 sebulan selama 20 tahun daripada simpanan KWSP selepas bersara.

Tunku Alizakri mengaitkan gaji rendah sebagai alasan simpanan rendah dalam Akaun 1.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, yang membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2020.

Dahulukan yang penting

Muhammed, yang juga bekas pengarah Penyelidikan Khazanah berkata belanjawan itu terlepas peluang membangunkan dasar perlindungan sosial yang lebih baik untuk rakyat.

Katanya, skim Bantuan Sara Hidup yang dijenamakan semula sebagai Bantuan Prihatin Rakyat juga tidak mencukupi.

“Bantuan yang diberikan oleh kerajaan terlalu kecil untuk memberikan kesan, terutama ketika ramai rakyat, baik dalam kelompok B40 atau M40, menghadapi kesulitan kewangan kerana diberhentikan kerja, tiada kerja atau waktu kerja dikurangan.

“Tiada bantuan tunai yang diberikan kepada mereka,” katanya.

Muhammed juga menambah ketidakmampuan kerajaan menetapkan keutamaan mereka adalah jelas ketika mengumumkan sejumlah besar RM81.5 juta akan diberikan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Komunikasi dan Maklumat.

“Ini sangat jelas ketika perkara lain yang lebih penting dalam belanjawan menerima peruntukan yang jauh lebih rendah.”

Jasa adalah sebuah jabatan yang digunakan secara aktif oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini untuk kempen awamnya, kini dihidupkan kembali dan ditingkatkan secara signifikan dari segi saiz dan peruntukan.

Unit ini dihidupkan semula selepas dibubarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.

Peruntukan di bawah Belanjawan 2021 untuk Jasa hampir tiga kali ganda daripada jumlah yang diperuntukkan dalam belanjawan 2018 sebanyak RM30 juta.

Muhammed juga tidak bersetuju dengan pembayaran one-off RM500 kepada penjawat awam seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021, dengan berkata ia sepatutnya boleh disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Mengapa kita perlu menolong penjawat awam yang sudah mempunyai kerja tetap? Tidak wajar beri bonus RM500 kepada penjawat awam. Mereka tidak memerlukan bonus ini,” katanya.

Beliau berkata lebih baik ia diberikan kepada orang miskin daripada meminta mereka mengeluarkan wang KWSP. – 13 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen