Pemandu bas sekolah harap bantuan kerajaan


Zaim Ibrahim

Pemandu bas sekolah kini hilang punca pendapatan susulan sesi persekolahan bagi tahun ini ditutup susulan pelaksanaan PKPB bagi elak penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

PEMANDU bas sekolah kini hilang punca pendapatan selepas Putrajaya mengumumkan menutup sesi persekolahan bagi tahun ini susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bagi mengelak penularan Covid-19 lebih serius.

Pemandu bas sekolah di utara Semenanjung kesal pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) itu tidak disusuli sebarang bantuan kepada mereka yang bergantung pendapatan penuh pada pelajar.

Mereka yang ditemui oleh The Malaysian Insight mengaku runsing mengenangkan masa depan kerana memandu bas sekolah adalah satu-satunya punca rezeki mereka selama ini.

Rafaie Osman, 46, yang memandu bas sekolah di Balik Pulau, berkata pendapatan mereka sebelum ini pun sudah merosot separuh berbanding tahun lalu, walaupun sekolah dibuka semula pada Julai lepas. Sekolah ditutup sebelum itu sejak pertengahan Mac.

“Pelajar semakin kurang, ada yang takut mahu naik bas, ada yang ibu bapa hantar. Pelajar yang masih ada pun kadang bayar kadang tidak. Pendapatan saya berbanding tahun lepas jatuh 50 hingga 60%,” katanya.

Rafaie menjelaskan semasa tahun persekolahan dibuka pada Januari 2020, ada 150 pelajar yang mendaftar menumpang basnya tetapi sekarang tinggal 90.

“Kebanyakan penumpang saya datang dari keluarga susah, hidup di rumah flat. Ibu bapa mereka pun terjejas akibat Covid-19.

“Nak paksa-paksa bayar pun tak sampai hati,” tambahnya.

Menurut Rafaie, pemandu bas sekolah sepertinya berharap kerajaan ada bantuan khas kerana mereka kini putus pendapatan, sekurang-kurangnya sehingga sekolah dibuka semula pertengahan Januari ini.

“Ini yang baru diumumkan kerajaan, tahun depan kita belum tahu bagaimana sesi persekolahan. Itu yang kami bimbang.

“Kami tidak boleh senang-senang minta permit bas pelancongan untuk bawa pelancong. Kalau kita mohon pun tiada guna sebab pelancong pun tak ada sekarang,” katanya.

Jelas Rafaie, semasa awal PKP pada Mac lalu, mereka dapat bantuan RM600 dan itu pun sekali saja.

“Kami harap boleh dapat lagi bantuan seperti itu.

“Macam orang lain, saya pun ada komitmen bayar rumah, kereta, dan anak yang perlu ditanggung,” tambahnya.

Pelajar semakin kurang, ada yang takut naik bas sekolah, ada yang ibu bapa hantar, kata pengusaha bas sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

Sanif Ahmad, 58, pemandu bas di Kuala Kedah, sementara itu menyangka sekolah sudah selamat beroperasi selepas dibuka pada Julai lalu, tetapi sekarang resah mengenangkan komitmen kewangan perlu diselesaikan.

“Pendapatan kami akan terputus dua bulan sampai Januari tahun depan. Tanyalah sesiapa pun… bantuan kewangan sangat diperlukan.

“Bukan hutang dengan bank sahaja tapi kita pun ada yang berhutang dengan mekanik untuk kos penyelengaraan,” jelasnya.

Sanif menambah beliau kini bergantung harap bantuan daripada anak yang sudah berkahwin.

“Komitmen saya memang tidak banyak, tapi untuk jaga bas pun perlukan wang. Dulu kita tidak bergerak selama tiga bulan dan tiada pendapatan, jadi untuk hadapi perkara yang sama sampai tahun depan, memang akan rasa susah,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sekolah dan institusi pengajian tinggi bawah Kementerian Pendidikan di seluruh negara ditutup serta merta, sehingga cuti sekolah penutup sesi tahun ini.

Sesi persekolahan akan dibuka semula bagi tahun depan pada 20 Januari, selepas Majlis Keselamatan Negara memutuskan PKPB di semua negeri di Semenanjung kecuali di tiga negeri.

Walaupun Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak tidak dikenakan PKPB, sekolah, kolej dan universiti tetap ditutup sebagai usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, seorang lagi pemandu bas dari Langkawi, Abdul Halim Hussein terpaksa menjual bas sekolahnya dengan harga RM20,000 pada Mei lalu selepas tidak mampu menanggung kos operasi bas berkenaan.

“Walaupun bank benarkan penangguhan bayaran pinjaman tetapi saya tak rasa mampu untuk bayar hutang untuk masa akan datang, sebab itu terpaksa jual.

“Jadi kuranglah komitmen saya sebab sekarang tiada lagi hutang bank,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan melakukan sesuatu untuk menyelamatkan pemandu bas sekolah yang sekarang tiada punca pendapatan lain.

“Bantuan kewangan sangat diperlukan. Kalau dulu musim cuti sekolah… kita tiada pendapatan dari murid, tapi boleh mohon permit sementara untuk bawa pelancong… sekarang tiada lagi.

“Ramai pemandu bas yang bertukar jadi nelayan, pemandu lori dan buat kerja kampung, seperti saya, bagi meneruskan kehidupan,” kata Halim.

Jelas beliau, pendapatan sebelum ini yang boleh mencecah RM5,000 sebulan kini hanya dalam lingkungan RM1,000 sebulan hasil kerja kampung di pulau itu.

“Janji dapat bayar rumah, bil utiliti cukuplah. Buat masa sekarang, saya belum tahu mampu atau tidak bawa bas sekolah lagi.

“Kita hanya tunggu keadaan Covid-19 reda,” tambahnya. – 12 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen