PUTRAJAYA menutup semua sekolah di seluruh negara kerana ada risiko jangkitan Covid-19, kata Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata penutupan sekolah di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) meliputi 74% sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, PKPB di semua negeri kecuali Kelantan, Perlis dan Pahang dikuatkuasakan hingga 6 Disember sementara sekolah dalam Kumpulan A dan B dijadualkan berakhir pada 17 Disember dan 18 Disember.
“Ini bermakna selepas PKPB, pelajar hanya ada baki sembilan hingga 10 hari persekolahan.
“Oleh itu, KPM memutuskan, selepas mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), untuk melanjutkan penutupan sekolah hingga 17 dan 18 Disember,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
“Kementerian juga memutuskan untuk menutup baki 26% sekolah di kawasan bukan PKPB kerana analisis data menunjukkan ada peningkatan kes Covid-19, kontak rapat dan kes kuarantin dalam kalangan pelajar, guru dan staf di negeri PKPB.
Radzi berkata keputusan penutupan sekolah itu membabitkan 1,086,803 pelajar, 99,491 guru dan 20,438 kakitangan.
Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching-PH) yang meminta menteri menyatakan rasional penutupan sekolah di seluruh negara pada sesi waktu pertanyaan menteri(MQT) di Parlimen hari ini.
Tiada soalan tambahan diberikan susulan menerusi peraturan baharu di Dewan Rakyat, kerajaan hanya menjawab soalan MQT secara jawapan bertulis.
Protokol baharu Parlimen menghadkan 80 ahli Parlimen pada setiap sidang Dewan Rakyat, bermula Isnin lalu. – 10 November, 2020.
Komen