Dr Mahathir cadang potong gaji supaya boleh salur dana bantuan cepat


Noor Azam Shairi Kamles Kumar

Ramai rakyat yang terjejas teruk sehingga tidak dapat makan disebabkan pandemik Covid-19 dan mengharapkan bantuan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

GAJI pegawai tinggi kerajaan yang dipotong akan membolehkan kerajaan mempunyai dana segera untuk disalurkan kepada rakyat yang lebih memerlukan yang terjejas teruk kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berkata beliau sedia untuk memotong sebahagian daripada pencennya dan kerajaan sepatutnya sedia mengambil langkah sama terhadap kumpulan berpendapatan tinggi dalam sektor awam.

“Saya tak ada masalah. Saya nak kerajaan potong gaji sebanyak 10 % daripada mereka yang pendapatannya lebih daripada mencukupi.

“Kita lihat ada orang yang tak ada makan pun, takkanlah kita tak boleh bantu mereka sedikit,” katanya, dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, semalam.

Dr Mahathir diminta menjelaskan kenyataannya pada Isnin yang mencadangkan potongan gaji 10% melibatkan kumpulan berpendapatan tinggi dalam kerajaan dan sektor swasta.

Katanya, potongan itu satu pengorbanan kecil yang tidak menjejaskan mereka tetapi boleh menyediakan makanan untuk kumpulan yang tidak bekerja dan hilang punca pendapatan.

Sehari selepas itu, Dr Mahathir mengulangi kenyataannya dan berkata pemotongan gaji 10% itu adalah wajar untuk merapatkan jurang antara yang bernasib baik dan yang bernasib buruk, yang terjejas ekonomi mereka akibat kesan Covid-19.

Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal yang mencadangkan Putrajaya memotong 30% gaji menteri dan timbalan untuk tempoh 12 bulan akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

Sentimen sama disuarakan oleh beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal yang mencadangkan Putrajaya memotong 30% gaji menteri dan timbalan untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Menurut Dr Mahathir, potongan gaji daripada kumpulan berpendapatan tinggi itu akan menjadi dana tersedia yang boleh diagihkan dengan segera untuk mereka yang lebih memerlukan.

“Membuat peruntukan dan perancancangan memang mudah, tetapi untuk melaksanakannya bukan senang. Biasanya masa yang panjang diambil sebelum sesuatu peruntukan dapat dilaksanakan. 

“Kadang-kadang untuk mendapat kebenaran akan mengambil masa berbulan-bulan,” katanya.

Dalam tempoh itu, tambahnya, rakyat akan terus menderita sedangkan pengagihan bantuan memerlukan tindakan segera.

Kita lihat ada orang yang tak ada makan pun, takkanlah kita tak boleh bantu mereka sedikit, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 November, 2020.

Dr Mahathir juga berkata kalau pun cadangan belanjawan kerajaan berjumlah RM322.5 bilion ini diluluskan oleh Parlimen, masih ada banyak proses untuk membolehkan dana yang diperuntukkan dapat diagih kepada rakyat.

“Kerajaan boleh buat perancangan belanja RM322 bilion tetapi saya yakin duit itu tidak habis, tidak boleh dibelanja. Umpamanya, ia (kerajaan) tidak boleh mula belanja pada 1 Januari 2021. 

“Ada proses itu, proses ini… akan melambatkan perbelanjaan duit yang banyak ini. Jadi, rakyat menderita,” katanya.

Awal minggu ini, Dr Mahathir berkata semasa jadi perdana menteri, usul pertama beliau ialah memotong gajinya sendiri serta gaji menteri, timbalan menteri dan juga pegawai tinggi kerajaan sebanyak 10%.

Pemotongan itu dibuat ketika negara tidak pun ada masalah ekonomi yang besar, katanya.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 1981 dan bersara pada 2003. Beliau diangkat sekali lagi sebagai perdana menteri selepas mengetuai Pakatan Harapan menyingkirkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Kerajaan itu bertahan selama 22 bulan selepas tersingkir melalui percaturan kuasa pada hujung Februari lalu. – 12 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen