Dr Mahathir sedia potong 10% duit pencen


Dr Mahathir Mohamad bersedia duit pencennya dipotong 10% untuk membantu rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2020.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bersedia memotong 10% duit pencennya untuk membantu meringankan beban rakyat yang terjejas dengan cabaran ekonomi semasa.

“Saya akui kehidupan saya tidak sedikit pun terjejas kerana lockdown dan SOP yang saya terpaksa amalkan,” katanya di Facebook, malam ini.

Dr Mahathir juga menyatakan persetujuan dengan cadangan dibuat Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal supaya gaji menteri dipotong.

Shafie sebelum ini mencadangkan pemotongan gaji menteri sebanyak 30%, tetapi, Dr Mahathir juga merasakan penjawat tinggi kanan dan sektor swasta juga wajar dipotong gaji mereka sebanyak 10%.

Dr Mahathir, perdana menteri dua kali Malaysia itu juga berkata, setiap kali beliau menjadi perdana menteri, beliau mencadangkan pemotongan gaji 10% dirinya, menteri, timbalan dan penjawat tinggi perkhidmatan awam.

Menurutnya, ketika beliau membuat cadangan itu, tidak wujud masalah ekonomi yang besar ketika itu.

“Sekarang gaji sudah naik berkali ganda dari dahulu. Sementara ramai yang hilang pendapatan sama sekali, mereka yang bergaji dalam kerajaan tidak mengalami apa-apa kekurangan.

“Dalam syarikat swasta pun tidak ada kekurangan gaji,” katanya.

Tambah Dr Mahathir lagi, pemotongan gaji sebanyak 10% daripada kumpulan berpendapatan tinggi yang tidak terjejas adalah wajar, supaya ia dapat disalurkan kepada rakyat yang lebih memerlukan. – 10 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen